Cara Penyediaan Mandian Herba Bersalin. Biar Segar Dan Berseri!

“Lepas bersalin ni rasa tak selesa pula badan. Orang kata, mandian herba bersalin bagus untuk kesegaran. Tapi dengar macam leceh nak buat. Apa agaknya bahan-bahannya ya?”

Mandian herba bersalin adalah antara rutin yang diamalkan oleh wanita berpantang sejak turun-temurun, termasuklah dalam masyarakat Melayu. Selain memberi aroma yang harum, ia juga dipercayai mempunyai khasiat tertentu dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan ibu bersalin.

Sebenarnya, cara penyediaan ini amat mudah. Suami pun boleh buatkan untuk isteri yang sedang berpantang.

Berikut adalah cara-caranya.

Cara Penyediaan Mandian Herba Bersalin. Biar Segar & Berseri!

Ada banyak ramuan yang digunakan dalam mandian herba bersalin. Ada yang mudah kita jumpa, dan sebahagiannya mungkin agak sukar didapati.

1. Sediakan Bahan

Pada asasnya, bahan-bahan yang boleh digunakan adalah:

  • Daun Kunyit
  • Hirisan Lengkuas & Halia
  • Daun Pandan
  • Serai Wangi
  • Halba
  • Kayu Manis

Seeloknya, kesemua ramuan ini direbus menggunakan periuk tanah.

Jika anda mempunyai kesempatan dan mahu menambahkan lagi kesan dalam mandian herba bersalin ini, boleh juga menggunakan bahan berikut:

  • Daun Inai
  • Daun Mengkudu
  • Daun Kantan
  • Daun Kunyit Hitam
  • Daun Lemuni
  • Daun Lempoyang
  • Halba
  • Manjakani
  • Limau Purut

Masukkan bahan-bahan ini ke dalam sebuah periuk berisi air. Potong / hiriskan sedikit mengikut kesesuaian.

2. Rebus

Semua bahan ini kemudiannya direbus seperti biasa sehingga ia menjadi layu. Semasa direbus, satu rumah akan menjadi harum dan wangi.

Secara tak langsung, menjadi terapi juga kepada si ibu yang sedang berpantang.

3. Bancuhkan Pati Rebusan Dengan Air Biasa

Air rebusan ini kemudiannya dicampurkan dengan sedikit air biasa sehingga mencapai suhu suam.

Daun-daun dan bahan rebusan jangan terus dibuang. Ia sesuai dibuat menggosok tubuh badan perlahan-lahan.

4. Boleh Juga Disediakan Dalam Bentuk Bunjut

Kalau nak senang, boleh juga ikatkan kesemua bahan ini dalam kain kasa yang dibunjut rapi.

Bunjut ini boleh disimpan dalam peti sejuk dan digunakan semula untuk mandian seterusnya.

Sekali rebus, air daun begini boleh digunakan berulang kali sampailah warna kuning pada air makin menipis. Sesetengah bidan berpendapat ia boleh digunakan lagi untuk 3-7 kali mandi, bergantung kepada berapa banyak daun yang direbus.

5. Amalkan Langkah Keselamatan

Semasa mandi, sebaiknya ibu-ibu duduk di atas bangku yang selesa agar mudah mencapai besen mandian. Dapatkan posisi selesa dan elakkan bercangkung ketika mandi.

Kalau boleh, dapatkan seseorang untuk membantu menyediakan air mandian. Jangan mengangkat besen yang berat dengan sendiri ya.

Kini, Ia Mudah Didapati Dalam Bentuk Paket

Kita cukup bertuah kerana hari ini, set mandian herba bersalin telah banyak dijual di pasaran. Ianya telah dipaketkan agar ibu-ibu dapat membuat persediaan awal dan lebih mudah menyediakannya di rumah. Ibu boleh membelinya dalam bentuk pakej lengkap set berpantang mahupun dalam bentuk paket mandian herba yang berasingan.

Paket bungkusan mandian herba bersalin ini biasanya kelihatan seperti paket uncang atau bunjut yang perlu direbus seperti teh.

Jadi, ibu yang tinggal di bandar tak perlu risau jika anda tidak berkesempatan untuk mendapatkan semua ramuan ini. Terdapat banyak pilihan untuk anda mengamalkan mandian herba bersalin, walaupun hanya berpantang sendiri di rumah.

Boleh Diamalkan Mengikut Keselesaan

Ramai wanita yang mengakui bahawa tubuh akan berasa lebih ‘sedap’ dan segar selepas mengamalkan mandian herba bersalin ini.

Maka, bagi yang berkesempatan, bolehlah mengamalkan mandian ini setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 2 minggu selepas bersalin.

Mudah-mudahan, anda juga mendapat khasiat serta manfaatnya!

1 thought on “Cara Penyediaan Mandian Herba Bersalin. Biar Segar Dan Berseri!”

Leave a Comment