Bolehkah Bayi Mandi Air Sejuk? Kalau Demam Macam Mana?

“Leceh juga nak siapkan air mandi ni. Nak kena suam elok, kalau tak menjeritlah jawabnya nanti. Bila agaknya boleh bagi bayi mandi air sejuk ya?”

Kalau nak ikutkan memanglah lagi senang kalau bayi boleh mandi air paip saja. Tak perlu nak tuang air panas dan adjust suhunya dalam besen. Tapi risau juga kalau-kalau tindakan ini akan membuatkan bayi mudah terkena batuk, selsema, demam dan sebagainya.

Bila ditanya pada orang tua, ada yang berpendapat mandikan bayi dengan air sejuk lagi baik sebab tulang bayi akan menjadi kuat. Malah, ada tradisi turun-temurun orang Rusia yang mencelup anak-anak kecil dalam air ais kerana dipercayai ‘anak akan membesar lebih sihat’.

Jadi, bolehkah sebenarnya bagi bayi mandi air sejuk? Kalau boleh, sejak umur berapa? Apa yang perlu diperhatikan supaya mereka benar-benar selesa dan selamat?

Suhu Mandi Bayi Yang Paling Sesuai

Bagi orang dewasa, sebenarnya mandi air panas atau sejuk kedua-duanya mempunyai manfaat tersendiri. Namun, suhu air mandi yang paling sesuai untuk bayi, terutamanya bayi baru lahir adalah suhu suam, sekitar 37 darjah celsius, iaitu bersamaan dengan suhu badan manusia. Suhu ini adalah suhu yang selesa untuk bayi dan tidak akan membuatnya terkejut.

Anda tak semestinya menggunakan termometer untuk menyukat suhu air mandian bayi yang tepat. Sebaliknya, anda boleh mengagak suhu yang selesa dengan mencelup bahagian siku anda ke dalam besen mandi bayi. Cukup dengan memastikan ia tak terlalu panas atau terlalu sejuk, ia sudahpun dikira selesa dan selamat untuk bayi.

Jadi, Bolehkah Bayi Mandi Air Sejuk?

Berbalik kepada persoalan di atas, jawapannya bergantung kepada keadaan. Biasanya di Malaysia suhu air paip tidaklah terlampau sejuk, kecuali ketika hujan, waktu malam, atau awal pagi.

Seeloknya suhu air mandian bayi baru lahir adalah suam dan selepas berusia 3 bulan, suhu air bolehlah diubah secara bertahap. Ini kerana, apabila bayi semakin besar, barulah tubuhnya mampu mengawal selia suhu dengan lebih efektif. Apapun, dinasihatkan agar air suam tetap digunakan ketika mandi malam atau ketika cuaca sejuk.

Selain suhu air mandian bayi, jangan lupa mengambil kira suhu bilik dan keringkan bayi secepat mungkin kerana kedua-dua faktor ini juga boleh membuat bayi berasa sejuk.

Perlukah Bayi Mandi Air Sejuk Untuk Menurunkan Suhu Badan Ketika Demam?

Mungkin ada yang percaya bahawa cara paling mudah menurunkan suhu badan yang tinggi ketika demam adalah dengan mandi air sejuk. Namun ini sebenarnya merupakan satu kesilapan yang tidak seharusnya dipraktikkan, terutamanya buat bayi.

Sebaliknya, apa yang lebih disarankan adalah melakukan tepid sponging atau teknik menyapu tubuh dengan menggunakan tuala lembab yang dicelup dalam air suam.

Menurut Dr Abdul Rahim Nor, air suam akan membantu pembuluh darah agar mengembang lalu membuka pori-pori yang memudahkan keluarnya panas dari tubuh. Penggunaan air sejuk atau air ais hanya akan meningkatkan suhu badan kerana pembuluh darah di kulit akan mengecut hingga panas dari tubuh terhalang untuk keluar dari kulit.

Tanda Yang Perlu Diperhatikan

Oleh kerana kulit bayi amat sensitif, ibu ayah perlu lebih peka terhadap reaksi semasa bayi mandi air sejuk atau air panas.

Jika kulit bayi menjadi kemerahan apabila bersentuhan dengan air, ini bermakna ia mungkin terlalu panas. Air yang terlalu sejuk pula boleh membuat bayi menggigil dan nampak sedikit kebiruan. Pada beberapa hari pertama kelahiran, bayi tidak perlu dimandikan terlalu lama. Malah, memadailah dengan mencuci tubuh bayi dengan air suam tanpa terlalu disabunkan.

Sesetengah bayi akan menangis ketika mandi kerana mungkin berasa kurang selesa atau tidak suka mandi. Ibu ayah juga mungkin masih kekok dan tidak dapat bertenang apabila tangisan bayi mula kedengaran sebaik anggota tubuhnya mencecah air. Namun selepas beberapa kali dimandikan, ibu ayah akan berasa semakin konfiden dan bayi juga akan terbiasa dengan rutin tersebut.

Leave a Comment