“Senangnya dah ada tungku bayi moden begini. Tak perlu susah-susah nak buat lagi. Tapi, macam mana nak guna ya?”
Selain penjagaan diri ketika berpantang, ibu-ibu juga perlu prihatin akan penjagaan bayi. Bayi yang sering menangis kadang kala bukannya kerana lampinnya basah atau lapar, tetapi rasa perut yang tidak selesa sehingga membuatnya tidur tak lena.
Oleh itu, adat Melayu lama sudah melazimi amalan tuam pada badan bayi. Tuam bukan sahaja sering dilakukan oleh wanita berpantang atau senggugut, malah ia boleh juga digunakan pada si kecil. Orang dulu-dulu juga sering menekankan amalan tungku bayi ini, lebih-lebih lagi pada bayi lelaki untuk mengelakkan ‘angin pasang’’.
7 Tips Menggunakan Tungku Bayi Dengan Betul, Baru Selesa!
Berikut adalah beberapa tips dari PantangPlus.com untuk anda yang ingin menggunakan tungku atau tuam buat si kecil.
1. Waktu Terbaik
Selalunya tuaman dilakukan selepas memandikan bayi. Apabila bayi sudah selesa mandi, boleh lakukan tuaman sebelum atau selepas mengurut badannya.
Boleh juga lakukan tuaman sebelum masuk tidur supaya si kecil dapat tidur dengan lebih nyenyak. Selepas tuam, bolehlah bedung bayi kemas-kemas supaya lebih selesa.
2. Cara Guna Tungku Bayi
Tungku bayi perlu dipanaskan suam-suam sebelum digunakan supaya bayi mendapat khasiatnya.
Anda boleh panaskan tungku bayi dengan menggunakan seterika sehingga terasa hangat. Boleh juga letakkan di atas periuk nasi asalkan tidak terlalu panas untuk kulit bayi.
Cuba dulu di belakang tapak tangan supaya tidak terlalu panas untuk bayi. Kemudian barulah letakkan tuaman ini pada bahagian tubuh bayi.
3. Tempat-tempat Yang Perlu Dituam
Mengikut petua orang dulu-dulu, bayi seeloknya dituam pada bahagian belakangnya. Lebih tepat lagi dari bahu terus ke pinggang.
Tuamkan juga pada bahagian perut, ari-ari, dan bahagian pelipat kaki serta tapak kaki selama beberapa minit. Ia dipercayai dapat mengurangkan kembung pada bayi.
Bagi bayi lelaki, boleh tuamkan pada alat kelaminnya untuk elakkan angin pasang.
4. Sampai Bila Bayi Perlu Dituam?
Kata orang tua-tua, bayi perlu dituam sehingga sudah pandai meniarap, iaitu sekitar 5 ke 6 bulan. Ada juga yang berpendapat ia boleh dilakukan sehingga usia bayi 1 tahun.
Semuanya bergantung pada ibu bapa dan juga keselesaan bayi. Sama juga seperti rutin sendawakan bayi selepas menyusu, apabila si kecil sudah semakin besar dan tidak bermasalah tanpa bantuan ibu bapa, maka kita tidak perlu risau tentang keselesaannya lagi.
5. Cara Simpan Tuam Bayi
Tuam bayi ini boleh digunakan selagi balutan kain atau bunjutnya masih elok. Untuk memastikan aroma dan khasiat daripada herba tahan lebih lama, eloklah kalau ia disimpan dalam bekas kedap udara selepas digunakan.
6. Buat Sendiri Dengan Bahan Semulajadi
Memang tidak dapat dinafikan tungku bayi memang banyak terjual secara ‘online’. Tapi mengapa perlu membazir jika boleh buat sendiri di rumah. Kita juga boleh putuskan sendiri bahan apa yang mahu digunakan di dalam tuam tersebut.
Untuk melihat cara membuat tungku bayi dengan lebih lanjut, boleh rujuk artikel kami ini : Cara Buat Tuam Bayi Yang Selamat & Mudah. DIY Saja!
7. Tungku Bayi Sekadar Memberi Keselesaan, Bukannya Rawatan
Harus diingat bahawa menuam bayi bukanlah jawapan bagi segala ketidakselesaan yang dialami oleh bayi. Teknik ini hanya boleh digunakan untuk melegakan rasa ketidakselesaan yang tidak serius pada bayi.
Jika bayi masih menangis walaupun bermacam ikhtiar sudah dilakukan, ibu ayah jangan teragak-agak pula untuk mendapatkan nasihat daripada doktor.
Jadikan Sebagai Rutin Tambahan
Memang adat Melayu kaya dengan tradisi perubatan yang sudah diamalkan beberapa generasi sehingga kini. Keberkesanannya juga dipercayai kerana penggunaan herba yang disyorkan terkenal dengan khasiat dalam memberi kelegaan dan kesembuhan buat pengamalnya.
Semoga perkongsian ini memberi sedikit informasi dan panduan tentang amalan tuam bayi yang masih dilakukan secara meluas di Malaysia. Walaupun ia tidak boleh dianggap sebagai rawatan bagi masalah kesihatan, anda boleh menjadikan tungku bayi sebagai rutin tambahan yang mudah dan selamat.
Mommies mencari set tuam bayi yang lengkap dan tahan lama?
Klik sini untuk pembelian set tuam bayi yang bakal memudahkan mommies dan suami kelak 🙂
1 thought on “7 Tips Menggunakan Tungku Bayi Dengan Betul, Baru Selesa!”