7 Jenis Makanan Berangin Yang Perlu Dielakkan Oleh Ibu Menyusu

“Aduh, dari tadi baby asyik meragam je… Kembung perut ke? Apalah makanan berangin yang aku dah makan tadi agaknya.”

Bila dah jadi ibu menyusu, secara automatiknya kita akan jadi lebih peka terhadap apa yang dimakan setiap hari. Bukannya boleh ‘bedal’ semuanya walaupun dah habis berpantang. Takut kalau tersalah makan, kesannya akan terkena pada bayi yang disusukan pula.

Selain alahan, antara yang boleh merisaukan ibu-ibu adalah apabila anak diserang kembung perut. Salah satu punca utama adalah daripada makanan yang dimakan oleh ibu, terutamanya bagi bayi bawah 6 bulan yang masih belum apa-apa makanan tambahan selain susu ibu.

Oleh itu, adalah baik untuk ibu membuat senarai serta memberi perhatian kepada beberapa jenis makanan berangin seperti berikut.

7 Jenis Makanan Berangin Yang Perlu Dielakkan Oleh Ibu Menyusu

1. Susu / Produk Tenusu

Walaupun susu membekalkan pelbagai khasiat untuk ibu, namun sebenarnya susu adalah salah satu punca masalah kembung perut pada bayi. Laktos ialah gula semulajadi yang terdapat pada produk tenusu dan menghasilkan banyak ‘angin’.

Bukan sekadar susu saja, malah produk-produk tenusu seperti keju, yogurt, aiskrim, atau apa-apa olahan makanan yang bersusu juga boleh menyebabkan sesetengah bayi mencetuskan reaksi alahan atau ketidakselesaan selepas pengambilannya.

2. Buah-buahan Sitrus

Buah-buahan yang berfungsi sebagai sumber vitamin semulajadi adalah amat penting untuk tubuh. Selain mengekalkan kesihatan badan, ia juga melancarkan sistem penghadaman pada ibu serta bayi.

Oleh itu, jika anda mengalami masalah sembelit, makanlah buah-buahan sitrus seperti limau, oren, dan lemon. Manakala buah-buahan seperti aprikot, prune, pear, dan plum juga dapat membantu fungsi yang sama. Namun jika dimakan terlalu banyak, ia juga boleh menjadikan bayi anda mengalami sakit perut.

3. Kobis

Perhatikan beberapa jenis sayuran hijau, terutamanya sayuran seperti kobis, brokoli, taugeh dan asparagus.

Menurut sesetengah sumber, ada bayi yang tidak serasi akan berasa ‘angin’ atau kembung selepas anda memakan sayuran jenis ini.

4. Coklat & Kafein

Malangnya, makanan kegemaran kebanyakan wanita iaitu coklat tergolong dalam kumpulan makanan yang boleh menjadi punca ‘angin’.

Ini kerana, coklat mengandungi kafein, seperti mana yang juga terdapat dalam teh dan kopi.

5. Minuman Berkarbonat

Seperti yang diketahui ramai, air berkarbonat sepatutnya tidak diambil secara berlebihan kerana kandungan gulanya yang tinggi.

Dikenali juga sebagai ‘air gas’, air ini mengandungi belon udara yang perlu dilepaskan oleh tubuh selepas meminumnya. Inilah yang menjadi punca ‘angin’ dalam perut bayi.

6. Kacang

Umumnya, tak ada masalah memakan kacang bagi ibu menyusu melainkan anda memang alah terhadapnya. Namun, kacang adalah salah satu bahan makanan yang sering menimbulkan reaksi alahan terhadap bayi.

Jadi jika ia kali pertama anda memakannya semasa menyusukan bayi, ambillah dalam kuantiti yang sederhana terlebih dahulu.

7. Telur

Seperti kacang, telur adalah antara makanan yang menyebabkan alergi pada bayi. Ini adalah kerana kandungan sulfur yang terkandung di dalamnya akan membangkitkan rasa tidak selesa bagi sesetengah orang, terutamanya bayi.

Jangan Terlalu Risau

Walaupun ada beberapa jenis makanan yang mungkin menyebabkan bayi anda berasa tidak selesa, ‘angin’ atau kembung perut, jangan jadikan ia penghalang untuk anda mengamalkan diet yang seimbang.

Jika anda merasakan bahawa sesetengah makanan menyebabkan bayi anda sensitif, cuba elakkan makanan tersebut selama seminggu dan lihat hasilnya. Setelah bayi sihat, cuba lagi makanan tersebut dalam kuantiti yang kecil. Dengan cara ini, lebih mudah untuk anda mengenalpasti apakah sebenarnya makanan yang tidak dapat diterima oleh bayi yang menyusu.

9 thoughts on “7 Jenis Makanan Berangin Yang Perlu Dielakkan Oleh Ibu Menyusu”

    • Salam Puan. Jika ibu mengalami gastrik, ia tidak akan memberi kesan kepada bayi. Walaubagaimanapun, jika bayi tetap kembung perut, ibu boleh lakukan tuam di bahagian perut dan belakang bayi sebanyak dua kali sehari. Ibu juga digalakkan untuk tidak skip makan ye.

      Reply
  1. Assalamualaikum Puan… sy nak tanya, knp setiap kali sy memakan buah oren wlaupon tak samapai separuh akan menyebabkan anak sy jd sekak perut payah nak membuang.. dan menu makanan yang sesuai untuk org czer agar bayi tidak kembung perut

    Reply

Leave a Comment