7 Tanda Awal Mengandung, Untuk ‘Check’ Hamil atau Tidak

Detik hati terasa diri mengandung, malah orang sekeliling ada pula yang mengatakan ‘Eh macam ada isi’. Nak check, masih awal lagi, baru sehari dua terlepas ‘period‘. Lagipun terasa segan pula untuk pergi membeli alat uji kehamilan. Untuk memudahkan anda, disini disertakan tujuh tanda awal mengandung yang boleh diperhatikan dengan teliti pada diri anda.

  1. Kekejangan di abdomen

Kekejangan di bahagian rahim dan abdomen yang terasa seperti mengembung adalah seakan-akan tanda menstruasi yang bakal datang. Mungkin ia adalah disebabkan oleh perubahan hormon progesteron dan kekejangan pula disebabkan oleh pelekatan telur pada dinding uterus.

Hormon yang sama juga mengakibatkan pergerakan otot lebih perlahan dan boleh memberi kesan kepada bahagian pencernaan, iaitu boleh menjadi tanda mengandung seterusnya iaitu sembelit dan heartburn. Pencernaan yang dilambatkan adalah supaya nutrisi dalam makanan mempunyai lebih masa untuk sampai kepada kandungan.

  1. Kerap Buang Air Kecil

Hormon hCG (human Chorionic Gonadotropin) dirembeskan oleh kantung bayi (placenta) selepas pelekatan fetus di rahim. Hormon ini kerap merangsang rasa ingin buang air kecil walaupun embrio masih kecil dan belum menekan bahagian pundi kencing.

Tubuh juga dikatakan menambah kandungan cecair dalam tubuh termasuk darah untuk persediaan membesarkan bayi dalam kandungan. Ini memaksa buah pinggang bekerja lebih dan menyebabkan tanda awal mengandung termasuklah kekerapan kencing yang meningkat.

  1. Mudah Dijangkiti

Kadar progesteron yang tinggi bekerja untuk menahan imunisasi tubuh wanita hamil dari menyerang DNA baru dan asing dalam tubuh yang dimiliki oleh fetus. Peluang keemasan ini dikatakan digunapakai oleh virus dan bakteria dalam tubuh hingga wanita baru hamil mudah diserang batuk dan selsema.

Semakin merumitkan, wanita yang ingin mengandung jarang ingin mengambil ubat batuk dan deman kerana bimbang akan memudaratkan kandungan. Terdapat pelbagai cara alami untuk mengatasi dan mengubati batuk selsema yang boleh dicuba.

Gusi bengkak akibat bakteria dalam mulut yang berleluasa juga boleh berlaku, dan temujanji pergigian adalah antara yang patut dilakukan selain mengamalkan kebersihan mulut sebaiknya. Muka, gusi dan mata yang membengkak adalah antara tanda awal mengandung yang patut diperhatikan.

  1. Selera Makan Berubah

Antara tanda awal mengandung adalah merasa mual, seawal dari dua minggu persenyawaan. Namun tidak semua mual akan menyebabkan muntah. Malahan merasa pening dan mudah letih juga termasuk dalam tanda awal mengandung.

Tubuh mula berkerja keras demi membesarkan fetus dalam tubuh dan menyuburkannya dengan nutrisi, tidak kira siang dan malam. Oleh itu, merasa cepat letih dan mengidam adalah antara tanda awal yang boleh dialami.

Tubuh dikatakan akan mengidam makanan yang diperlukan tubuh, dan bersifat tinggi nutrisi demi tumbesaran bayi. Menginginkan makanan yang tidak berkhasiat malah memudaratkan adalah tidak masuk akal dan patut dikawal.

  1. Angin Emosi Tidak Menentu

Merasa sensitif, cepat sedih dan marah adalah antara tanda awal mengandung. Ini boleh diburukkan dengan membuat keputusan terburu-buru. Orang sekeliling patut memahami kerana ia adalah perkara yang sukar dielakkan dek kerana hormon yang meningkat secara drastik.

Perubahan asing pada tubuh, kesakitan disana-sini dan juga cepat merasa letih juga boleh menyumbang kepada perubahan angin emosi pada wanita yang hamil.

  1. Perubahan Pada Payudara

Puting payudara dirasakan menonjol keluar dan kawasan gelap (aerola) semakin besar. Malahan, kawasan dada terasa membengkak, membesar dan sensitif kerana pengaktifan kelenjar dan persediaan yang dilakukan tubuh untuk menyusukan bayi kelak.

  1. Terlepas Menstruasi

Kerapkali wanita baru hamil mengatakan mereka mengalami payudara bengkak dan kejang di kawasan rahim seakan-akan hampir melalui menstruasi. Namun pada mereka yang mencatat dan memiliki tempoh haid yang tetap, antara tanda awal mengandung adalah ‘lewat’ melalui menstruasi berbanding yang dijangka.

Mengalami sedikit pendarahan walaupun terlepas tarikh jangkaan menstruasi mungkin diakibatkan oleh pelekatan telur pada rahim setelah persenyawaan. Bagi wanita yang tidak hamil, terlepas atau lewat menstruasi juga boleh disebabkan oleh pelbagai faktor seperti perubahan nutrisi, merasa tertekan atau pelbagai lagi.

Oleh itu, setelah minima tujuh hari terlepas dari tarikh jangkaan menstruasi, ujian mengesan hCG dalam air kencing boleh dilakukan. Kit pengesan kehamilan ini boleh dibeli di farmasi atau dilakukan di klinik yang terdekat, dimana keputusannya adalah 99% tepat. Saya mengambil ujian ini sehingga lima kali kerana seperti dungu masih tidak percaya diri ini bunting pelamin. Syukur.

 

Wanita yang terlalu ingin hamil juga boleh mengalami tanda yang lebih kurang sama terutamanya mengidam, kejang rahim dan loya dek kerana pengaruh psikologi. Namun sekirannya mengalami tanda-tanda tersebut termasuklah tujuh diatas, silalah berkongsi senyap-senyap dengan orang berpengalaman dan dipercayai.

Jika keputusannya positif selepas diuji, tahniah. Sekiranya keputusannya negatif, kekecewaan masih boleh disembunyikan dan usaha boleh diteruskan. Fokus kepada memiliki tubuh sihat dan mengamalkan gaya hidup dan fikiran yang baik adalah cara terbaik bersedia untuk hamil.

Setelah berusaha dan diizinkan Tuhan, tanda-tanda awal mengandung di atas boleh dialami oleh anda tidak lama lagi. Kemudian, bolehlah dapatkan perkhidmatan istimewa dari PantangPlus.com sebagai ganjaran untuk diri sendiri ya!

Promosi Hari Malaysia Untuk Pakej Berpantang Anda!
Booking Slot Consultation Kami PERCUMA!
Slot Terhad Untuk 50 Pelanggan & Dapatkan Hadiah Menarik Dari Kami!