Punca loya masih tidak dapat disahkan dengan pasti melalui kajian, namun ia berkait rapat dengan kadar peningkatan hormon yang tinggi berbanding wanita normal. Dalam Bahasa Inggeris, dipanggil ‘nausea‘. Antara punca yang dikatakan boleh memudaratkan lagi rasa loya termasuklah jenis makanan, bau, suasana, cahaya, perut yang terlalu kosong dan juga kekurangan air dalam badan. Disini disertakan tujuh tips, cara hilangkan loya ketika mengandung.
Kenalpasti Punca, Suarakan Bantuan
Cuba sebaiknya untuk mendapatkan kefahaman dan empati ahli keluarga dan rakan pejabat. Kebiasaanya suasana lapang, pengudaraan dan pencahayaan yang baik beserta posisi selesa boleh mengurangkan risiko merasa mual.
Ketika saya hamil, apabila suami saya hendak memasak makanan kegemarannya si ikan kering, saya akan segera ‘lari’ masuk ke bilik dan menutup pintu sambil berbaring. Beliau pula akan membuka semua kipas dan tingkap sebelum segera memasak, mengemas dan menyembur haruman setelah selesai.
Jika sensitif terhadap bau, cuba elakkan memakan makanan panas atau berada dekat dengan dapur untuk mengelak aroma makanan panas. Makanan terlalu pedas dan berempah pula bukan ‘pasangan yang baik’ terhadap sistem penghadaman.
Selain itu melalui sejarah keluarga, mengenali punca penyebab loya dan cara mengelakkan yang diamalkan turun-temurun boleh dipelajari dan dijadikan langkah persediaan.
Kerap Makan, Kuantiti Sedikit Antara Cara Hilangkan Loya Ketika Mengandung
Saya juga pernah bergantung kepada jeruk saban pagi dek ingin cepat-cepat menghilangkan loya mengandung. Padahal, pegambilan pelbagai jeruk buah-buahan yang mempunyai pengawet secara kerap adalah tidak elok.
Cara berkesan hilangkan loya mengandung adalah dengan mengambil makanan yang sedikit dengan kerap. Sesetengah wanita gemar biskut dan kekacang, namun saya agak kurang berselera dengan biskut yang berhabuk dalam mulut.
Saya lebih suka memakan kismis kering, buah prun kering (pelawas) dan meminum jus buah. Disamping itu, ibu hamil memang akan cepat merasa lapar berbanding biasa dek kerana perlu membekalkan kalori dan nutrien kepada ‘dua orang’. Maka, carilah snek kering ringkas yang bersesuaian dengan selera sebagai peneman dan penambah nutrien.
Pergerakan mengunyah dan menelan juga adalah berlawanan dengan pergerakan mulut ketika hendak muntah. Bagi sesetengah wanita hamil, kerap mengunyah secara perlahan-lahan kemudian menelan snek yang ringkas adalah efektif dalam melegakan reflex muntah.
Bau Penyelamat di Poket
Sekiranya terhidu sesuatu yang berbau kurang enak, sebotol kecil minyak ‘angin’ atau aromaterapi boleh segera memadam bau yang tidak disenangi itu. Bau segar yang boleh membantu termasuklah bau buah lemon, limau sitrus, daun pudina dan bau jeruk halia.
Sesetengah minyak aromaterapi bersifat berangin kerana memiliki ‘menthol’, menjadikan ia dua dalam satu; memiliki bau yang enak disamping boleh menjadi minyak urut berangin kepada kulit.
Selain itu, sekirannya bersesuaian, ibu hamil boleh cuba memberus gigi setelah makan untuk mengelakkan loya dek kerana bau nafas sendiri. Sekiranya terasa mual dengan buih ubat gigi yang banyak, bolehlah cuba ubat gigi kanak-kanak yang terasa lebih manis buah dan kurang buih yang akan memenuhi mulut. Yang penting, matlamat menghilangkan bau mulut dan membersihkan gigi tercapai.
Cara Hilangkan Loya Ketika Mengandung Dengan Minum Air & Rehat Secukupnya
Jika merasakan air masak antara minuman yang tidak sedap, cuba gantikan dengan air berperisa yang dibancuh kurang manis demi membekalkan air mencukupi kepada tubuh. Ada juga wanita hamil mengambil minuman sukan tidak berkarbonat sebagai cara menghilangkan loya mengandung.
Air minuman sukan mengandungi kalori pembekal tenaga dan juga mampu menjadi elektrolit pengganti sekiranya wanita hamil tersebut telah muntah banyak kali. Disamping itu, berbaring dan mendapatkan rehat mencukupi adalah amat perlu demi mengelakkan mual dan penat melampau. Ini kerana, tubuh wanita hamil ‘bekerja lebih masa’ untuk membesarkan janin di dalam rahim.
Sekiranya setelah pemeriksaan darah dan ujian minum glukosa di klinik kesihatan, mintalah cuti kepada doktor atau hubungi sahaja majikan dan beritahu keadaan anda. Jangan paksa diri dan cuba menunjukkan reputasi baik semata-mata.
Buah dan Sayur Warna Pelangi
Uji dan carilah makanan serasi terbaik untuk diri sendiri. Namun semua wanita hamil yang saya kenali, hampir tiada seorang pun merasa mual terhadap buah. Oleh itu, cubalah tanamkan keinginan untuk memakan ‘pelangi’ buah-buahan setiap hari.
Untuk menjaga poket dek kerana harga buah mengikut berat, saya mengambil sekurangnya tiga jenis buah yang berbeza warna sehari. Mengikut kajian, semakin gelap warna buah, semakin banyak nutrisi yang ia kandungi.
Buah biru/ungu seperti prun dan delima memiliki antioksidan tinggi, sayuran hijau membersihkan hati dan mengelak kanser, buah kuning kehijauan seperti avocado dan kiwi melindungi mata, merah seperti tembikai dan tomato adalah untuk kesihatan tisu payudara, warna oren seperti mangga dan labu pula menguatkan daya imunisasi badan.
Selain itu, warna seakan-akan ‘pelangi’ yang terang kelihatan ceria dan meningkatkan selera. Mengikut kajian dan nasihat doktor tempatan, wanita hamil normal boleh mengambil semua jenis buah, yang penting ia dalam kuantiti sederhana.
Makan Vitamin B6 Salah Satu Cara Hilangkan Loya Ketika Mengandung
Pengambilan multivitamin sebelum mengandung dikatakan dapat mengurangkan simpton mual ketika hamil kelak. Pengambilan Vitamin B6 pula dikatakan berkesan mengurangkan rasa loya ketika hamil sekiranya diambil sebanyak 25mg, tiga kali sehari. Namun, pengambilannya perlu melalui nasihat doktor. Ini kerana terlalu banyak mengambilnya boleh mengakibatkan rasa kebas dan kerosakan saraf.
Fungsi utama vitamin B6 adalah untuk menghasilkan antibodi dan sel darah merah dalam badan. Antara makanan semulajadi yang banyak mengandungi vitamin B6 adalah termasuk buah pisang, kekacang, kentang, karot, daging dan ikan.
Riadah Ringkas dan Accupressure
Pergerakan dan riadah ringkas adalah usaha yang baik untuk mengalih perhatian dari memikirkan perkara yang meloyakan. Pergerakan senaman ringkas seperti mendongak dan menoleh beberapa saat ke kiri kemudian ke kanan boleh melegakan tengkuk yang tegang akibat tekanan atau keletihan.
Titik acupressure boleh cuba ditekan dalam sesuatu tempoh untuk melegakan rasa loya. Titik yang pertama terletak selepas tiga baris jari dari bawah telapak tangan. Ia perlu ditekan dalam 3 hingga 5 minit.
Manakala titik kedua adalah di antara ibu jari dan jari telunjuk, dan terletak selepas lapisan kulit nipis iaitu mendekati bahagian tapak tangan. Titik ini boleh ditekan dalam 15 saat kerana ia berkait dengan bahagian kepala dan juga dikatakan boleh melegakan pening dan menghilangkan mengantuk.
Sekadar ingatan
Begitulah tips serba ringkas untuk rujukan dan sebagai ikhtiar, sebagai salah satu cara hilangkan loya ketika mengandung.
Ada juga sesetengah orang yang merasakan ibu mengandung kelihatan ‘comel’ ketika muntah-muntah dan merengek meminta makanan itu dan ini. Apa-apapun, tahniah dan selamat menempuhi alam kehamilan kepada anda.
Jangan lupa tengok-tengok pakej menarik dari PantangPlus.com dan bolehlah tempah. Belum cuba belum tahu.
Promosi Hari Malaysia Untuk Pakej Berpantang Anda!
Booking Slot Consultation Kami PERCUMA!
Slot Terhad Untuk 50 Pelanggan & Dapatkan Hadiah Menarik Dari Kami!