“Setahu aku, memang banyak manfaat mengurut bayi. Boleh hilangkan kembung, kuatkan bonding, dan mudahkan bayi tidur malam. Tapi, aku takut pula nak urut Azra yang baru nak masuk 1 bulan ni. Apa tips mengurut bayi yang betul ya?”
Aktiviti mengurut bayi sudah menjadi tradisi turun temurun kerana kelebihannya terhadap tahap kesihatan bayi serta cara untuk membina hubungan antara ibu bapa dan si manja. Mengurut bayi terbukti dapat menenangkannya supaya mudah tidur dan melancarkan sistem penghadaman. Ketahui beberapa tips mengurut bayi dari PantangPlus.com supaya kebaikannya dapat dicapai secara menyeluruh.
Bilakah Bayi Boleh Diurut?
Asalkan anak sudah cukup bulan dan sihat, tiada masalah untuk anda mulakan urutan pada bayi. Bayi pramatang tidak digalakkan untuk diurut sehingga keadaan bayi sudah benar-benar stabil.
Mulakan dengan anggota badan yang kurang sensitif seperti tapak kaki sebelum beralih ke bahagian peha, perut, dan lain-lain.
5 Tips Mengurut Bayi Untuk ‘First Time Mom’
1. Pilih Minyak Yang Sesuai
Minyak semulajadi seperti minyak zaitun mampu membekalkan nutrisi terbaik pada kulit halus bayi. Sesudu minyak sudah mencukupi untuk urutan seluruh badan bayi. Elakkan minyak beraroma sehingga bayi berumur sekurang-kurangnya tiga bulan.
Aroma yang ada pada minyak dikhuatiri mengandungi bahan yang boleh memudaratkan kulit lembut bayi. Losyen bayi juga boleh digunakan sebagai alternatif kepada minyak untuk tujuan mengurut.
2. Guna Urutan Lembut
Walaupun mengurut bayi ada teknik dan caranya yang tersendiri, namun memadai untuk para ibu bapa mengurut dengan perlahan dan lembut. Urutan tiga kali pada tempat yang sama sehingga merangkumi semua bahagian bayi sudah mencukupi.
Bahagian kaki merupakan tempat paling kurang sensitif untuk bayi. Tapi, sesetengah pakar berpendapat refleksologi kaki saja boleh memacu kesihatan pada tubuh bayi seluruhnya. Oleh itu, kawasan tersebut adalah yang paling sesuai untuk memulakan urutan jika ibu masih teragak-agak dan ‘takut’ mengurut bahagian badan bayi yang masih ‘fragile’.
3. Tetapkan Waktu Rutin
Bayi lebih mudah menerima urutan sekiranya dilakukan pada waktu yang sama setiap hari. Rutin harian ini juga dapat membantu bayi mengagak dan mengatur waktu tidur mereka dengan lebih baik.
2 waktu yang paling sesuai untuk mengurut bayi adalah:
- Sebelum tidur malam (sebelum menyusu) untuk melancarkan sistem penghadaman dan memudahkan bayi tenang untuk tidur.
- Selepas mandi kerana ketika itu bayi berada pada keadaan paling selesa.
4. Berhenti Mengurut Jika Bayi Mula Memberi ‘Isyarat’
Agak sukar untuk mengagak bila kita sudah cukup memberi urutan padanya. Apabila sudah biasa kita sudah boleh membaca gerak gerinya.
Bayi memberi isyarat apabila dia mula hilang tumpuan, nampak kurang selesa, dan mula membengkokkan badan. Ia mungkin petanda bayi menerima rangsangan lebih dari perlu (overstimulate), bosan, letih, atau ada keperluan lain. Hentikan sesi mengurut dan cuba lagi pada sesi seterusnya.
5. Bedung Juga Membantu
Kaedah membedung baik untuk bayi kerana dapat mewujudkan suasana selamat dan mengekalkan kehangatan pada tubuh bayi.
Bayi juga dapat dihindarkan daripada terkejut akibat terlebih rangsangan dari persekitarannya. Dengan cara ini, sesi mengurut dapat dilakukan dengan lebih lancar dan bayi lebih mudah menerimanya.
Mengurut Bayi Ada Banyak Manfaatnya
Bayi baru lahir amat sensitif terhadap persekitarannya. Malah, semakin bayi membesar, sistem dalam badannya juga sedang berkembang. Dengan teknik mengurut yang betul dan penggunaan minyak yang bersesuaian, bayi pasti merasa selesa sepanjang hari.
Seperti menyusu badan, mengurut juga dapat mencipta rasa selamat pada bayi dan antara kaedah untuk membina hubungan yang sihat dengannya. Jadikan mengurut sebagai rutin dalam penjagaan bayi supaya bayi lebih sihat dan gembira ketika membesar.