Siapa kata lauk pantang tidak menyelerakan dan membosankan? Jika kena caranya, ia boleh dipelbagaikan dan menjadi menarik terutama mereka yang baru pertama kali melalui fasa berpantang. Perlu diingatkan, ibu-ibu perlu mendapatkan makanan yang berkhasiat supaya luka dalaman segera sembuh, menegangkan dan mengembalikan keadaan badan seperti sebelum bersalin sekaligus membantu ibu sihat luar dan dalam dengan baik.
Mengikut cara pantang orang lama, para ibu perlu mengelakkan pengambilan makanan yang boleh mendatangkan gatal-gatal, terutama kepada mereka yang bersalin secara pembedahan (caesarean) supaya luka di kawasan tersebut tidak gatal dan bernanah. Antaranya ikan tongkol, keli, sembilang, terubuk dan telur. Manakala menu berpantang yang sering disarankan kepada ibu yang bersalin normal dan pembedahan adalah ikan merah, selar, tenggiri, bawang putih, lada hitam, halia dan asam jawa.
Di bawah ini, izinkan PantangPlus kongsikan 20 koleksi lauk pantang yang penuh khasiat dan sihat yang boleh diikuti para ibu. Terpulang kepada kekreatifan masing-masing untuk mengolahnya.
Jika malas mahu masak, boleh terus ambil pakej berpantang dari PantangPlus. Siap ada tukang urut merangkap tukang masak yang boleh masak sedap-sedap setiap hari.
Selamat mencuba!
Lauk pantang untuk orang berpantang 44 hari
1. Ikan tenggiri masak singgang
Bahan-bahan :
1-2 ulas bawang putih
½ cm kunyit hidup
½ cm lengkuas muda
1 keping isi ikan tenggiri
1 sudu besar air asam jawa atau 1 keping asam gelugur
1 batang serai
Penyediaan :
Mayang halus bawang putih, halia dan lengkuas muda.
Ketuk serai.
Di dalam periuk, panaskan 1 cawan air dan masukkan kesemua bahan.
Setelah mendidih, masukkan isi ikan dan perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.
2. Ikan tenggiri masak asam
Bahan-bahan :
3 biji bawang merah
½ inci halia
3 keping isi ikan tenggiri
½ cawan air asam jawa
500ml air
Penyediaan :
Mayang halus halia dan bawang merah.
Masukkan kesemua bahan di dalam periuk. Biarkan sehingga mendidih.
Masukkan ikan dan masak sehingga kuah pekat.
Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.
Nota kaki :
Lauk pantang ini membantu melawaskan pembuangan air kecil dan membekalkan sumber protein.
3. Sup lobak putih
Bahan-bahan :
½ ekor ayam
1 batang lobak putih
2-3 ulas bawang putih
2-3 ulas bawang merah
½ inci halia
1 paket perencah sup sayur
1 kiub pati ayam
Penyediaan :
Hiris nipis bawang putih, bawang merah dan halia. Tumis dengan sedikit minyak.
Isi 3 cawan air, isi ayam dan perencah sup.
Setelah mendidih, masukkan kiub ayam dan perasakan dengan serbuk lada hitam dan garam.
Masukkan lobak putih yang dihiris bulat.
Boleh hias dengan bawang goreng atau daun sup untuk dihidang,
Nota kaki :
Lobak putih sesuai dihidang sebagai menu berpantang kerana membantu menambahkan kuantiti susu badan. Ia juga mampu merawat masalah penghadaman, kencing tidak lawas dan darah tinggi.
4. IKAN TENGGIRI GRILL
Bahan-bahan :
1 keping isi ikan tenggiri
½ inci kunyit hidup
1 sudu kecil lada hitam
Sedikit garam
Penyediaan :
Tumbuk kunyit hidup bersama lada hitam dan garam.
Lumur pada isi ikan. Perap selama 1-2 jam.
Grill isi ikan sehingga masak.
Nota kaki :
Ibu-ibu amat digalakkan untuk mencampurkan lada hitam dalam penyediaan lauk pantang mereka untuk memanas dan menyegarkan badan. Malah ia juga membantu mengelakkan kembung perut pada bayi.
5. IKAN MERAH TUMIS BAWANG
Bahan-bahan :
1 keping isi ikan merah
1 cm halia muda
1-2 ulas bawang putih
Serbuk lada hitam
Penyediaan :
Gaul garam dan serbuk lada hitam pada isi ikan dan diperapkan seketika.
Dengan sedikit minyak, goreng ikan sehingga masak. Ketepikan.
Tumis bawang putih dan halia yang dihiris nipis dan masukkan isi ikan tadi.
Tabur dengan sedikit daun bawang.
6. SUP IKAN
Bahan-bahan :
Isi ikan (jenahak/merah/siakap/tenggiri)
2 biji bawang putih
2 biji bawang merah
1 cm halia
Kayu manis, bunga lawang dan pelaga
Sup bunjut ikan
Lada hitam
500 ml air
Lobak merah/lobak putih/sawi/bunga kubis)
Penyediaan :
Lumur isi ikan dengan garam. Boleh goreng ikan terlebih dahulu jika suka.
Kisar bawang putih, bawang merah dan halia dan tumis sebentar dengan sedikit minyak.
Masukkan kayu manis, bunga lawang dan pelaga. Kemudian masukkan air dan sup bunjut ikan.
Masukkan isi ikan dan sayur.
Perasakan dengan garam dan letak sedikit lada hitam serta daun sup.
7. KERABU PEGAGA
Bahan-bahan :
1 mangkuk ulam pegaga – dihiris nipis
2 biji bawang merah – dihiris nipis
1 ekor ikan – rebus dan diambil isinya
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 sudu kecil kerisik
1 biji limau kasturi – ambil jusnya
Penyediaan :
Gaul kesemua bahan dan perasakan dengan garam dan gula.
8. DAGING REBUS ASAM
Bahan-bahan :
1 mangkuk daging yang dipotong
½ inci halia
½ inci lengkuas
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Sekeping asam keping
1 sudu kecil ketumbar – ditumbuk kasar
Sedikit serbuk lada hitam
2 mangkuk air
Penyediaan :
Halia, lengkuas, bawang merah dan bawang putih ditumbuk sehingga lumat.
Di dalam periuk, isi air dan rebus daging bersama bahan-bahan yang ditumbuk.
Masukkan ketumbar dan asam keping.
Masak sehingga daging empuk. Perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam.
Nota kaki :
Penggunaan asam keping dalam menu berpantang membantu melancarkan sistem penghadaman si ibu dan mengempiskan perut selepas melahirkan.
9. KARI IKAN TANPA SANTAN
Bahan-bahan :
2 keping isi ikan merah/jenahak
2 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
½ inci halia
Kayu manis, bunga lawang dan pelaga
2 sudu besar serbuk kari ikan
Air asam jawa
Halba
Daun kari
Air
Penyediaan :
Tumbuk bawang merah, bawang putih dan halia sehingga lumat. Tumiskan bersama kayu manis, bunga lawang dan pelaga, halba dan daun kari.
Masukkan serbuk kari ikan dan masak sehingga pecah minyak.
Masukkan air, isi ikan dan air asam jawa.
Perasakan dengan garam.
10. SERUNDING HALIA
Bahan-bahan :
Halia
Lada hitam – ditumbuk halus
Ikan bilis segenggam – digoreng
Bawang putih – digoreng
Garam
Penyediaan :
Halia disagat halus, diperah dan ditapis airnya.
Goreng halia dengan api sederhana sehingga garing. Toskan minyak.
Setelah itu, gaul sekali dengan ikan bilis goreng, bawang goreng, lada hitam dan perasakan dengan garam.
Serunding halia boleh dihasilkan dengan banyak dan disimpan dalam bekas kedap udara.
11. DAGING GORENG KUNYIT
Bahan-bahan :
1 mangkuk daging
½ inci kunyit
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
Lada hitam
Air
Penyediaan :
Tumbuk kunyit dan lada hitam. Gaul bersama daging dan perasakan sedikit dengan garam. Perap selama 10-15 minit.
Masukkan daging ke dalam kuali. Letak sedikit air.
Masak daging sehingga air kering dan empuk.
Setelah daging masak, masukkan bawang putih dan bawanh besar,
12. SUP SAWI BERTAUHU
Bahan-bahan :
2 ikat sayur sawi
2 biji bawang merah
1 biji bawang putih
2 cawan air
2 ketul tauhu
Penyediaan :
Tumis bawang merah dan bawang putih dengan sedikit minyak.
Masukkan air dan tauhu. Masak sehingga mendidih.
Masukkan sawi dan perasakan dengan garam dan sedikit serbuk lada hitam.
13. JUS PEGAGA DAN MADU
Bahan-bahan :
2 ikat ulam pegaga
2 sudu madu
3 cawan air
Penyediaan :
Kesemua bahan direbus.
Apabila mendidih, tapis bahan-bahan tadi dan diambil airnya.
Boleh diletakkan sedikit madu.
Sesuai diminum sama ada sejuk atau panas.
14. SUSU KACANG BADAM
Bahan-bahan :
Segelas susu segar
7 biji kacang badam (disangai terlebih dahulu)
21 biji kismis
1 biji kurma
Penyediaan :
Kesemua bahan dikisar dan ditapis untuk diambil airnya.
Nota kaki :
Menu berpantang ini sesuai untuk membantu memperbanyakkan air susu ibu.
15. LEMPENG OAT BEBAS GULA
Bahan-bahan :
1 cawan oat yang dikisar halus
1 cawan tepung gandum
Air
Penyediaan :
Campurkan oat dan tepung gandum serta sebatikan dengan air sedikit demi sedikit.
Pastikan adunan tidak terlalu pekat atau cair.
Panaskan non-stick pan dan letak sedikit butter.
Sendukkan adunan ke dalam non-stick pan dan masak sehingga kekuningan.
Boleh dimakan bersama madu dan buah-buahan seperti strawberi atau epal.
16. IKAN KUKUS DENGAN HALIA
Bahan-bahan :
1 ekor ikan (siakap/merah/selar/jenahak) – disiang dan dibersihkan
5 biji bawang putih
2 inci halia
3 biji limau nipis – ambil jusnya
3 biji cili api
Air
Daun sup/ketumbar
Penyediaan :
Sediakan pengukus dan panaskan airnya.
Ikan diletak di dalam bekas tahan panas dan dilumur dengan garam dan serbuk lada hitam sedikit.
Hiris halus bawang putih dan halia. Taburkan pada ikan dan kukus sehinga separuh masak.
Masukkan sedikit air, cili api yang diketuk dan jus limau nipis.
Apabila masak taburkan dengan daun sup atau ketumbar.
17. CENCARU BAKAR BEREMPAH
Bahan-bahan :
1 ekor ikan cencaru
2 biji bawang putih
2 biji bawang merah
½ inci halia
½ inci kunyit
2 sudu besar serbuk kari
Penyediaan :
Tumbuk lumat bawang putih, bawang merah, halia dan kunyit.
Campurkan kesemua bahan yang ditumbuk bersama serbuk kari dan lumurkan pada ikan.
Bakan ikan sehingga masak.
18. AIR HALIA MADU PANAS
Bahan-bahan :
50gm halia – buang kulit dan potong kecil
3 sudu besar madu
3 cawan air
Penyediaan :
Kisar halus halia bersama air.
Tapis bahan yang dikisar dan ambil airnya sahaja.
Kemudian masak di dalam periuk kecil sehingga air mendidih.
Untuk diminum, letakkan 3 sudu madu.
Nota kaki :
Air halia elok diminum ketika panas. Lauk pantang ini berkesan untuk membuang angin di dalam badan.
19. IKAN HARUAN MASAK LADA HITAM
Bahan-bahan :
1 ekor ikan haruan – bersihkan dengan air asam jawa dan dipotong kepingan.
3 biji bawang merah – dihiris nipis
2 biji bawang putih – diketuk
1 inci halia – dihiris nipis
1 keping asam keping
1 sudu besar lada hitam – ditumbuk kasar
2 cawan air
Penyediaan :
Di dalam periuk, masukkan kesemua bahan dan masak sehingga mendidih.
Masukkan ikan dan masak dengan api perlahan.
Perasakan dengan garam.
Nota kaki :
Ikan haruan dalam mana-mana lauk pantang amat baik untuk ibu kerana ia mempunyai asid lemak dan asid amino yang membantu menyembuhkan luka luar dan dalaman. Ia amat digalakkan diambil ketika tempoh awal bersalin.
20. AYAM KAMPUNG MASAK STIM
Bahan-bahan :
¼ ekor ayam kampung
½ batang lobak merah
½ batang lobak putih
2 biji bawang putih
1 sudu besar minyak bijan
Daun bawang
Daun sup
Penyediaan :
Bawang putih dihiris nipis dan dicampur bersama serbuk lada hitam. Bahan ini diletakkan pada ayam dan distim bersama lobak merah dan lobak putih.
Apabila ayam masak, perasakan dengan garam dan letakkan minyak bijan, daun bawang dan daun sup.
Harap-harap perkongsian 20 koleksi menu berpantang akan memberi idea menarik kepada para ibu dan tidaklah bosan untuk makan menu yang sama setiap hari. Selamat mencuba!
Akhir kata
Semoga perkongsian lauk pantang ini dapat memudahkan lagi urusan anda semasa berpantang di rumah.
Sebenarnya, tukang urut lepas bersalin dapat membantu menyediakan menu berpantang semasa mereka menjaga anda. Denga pakej pantang kami, boleh beli sahaja bahan mentah dan mereka akan masakkan.
Hubungi kami untuk maklumat lanjut.
Promosi Hari Malaysia Untuk Pakej Berpantang Anda!
Booking Slot Consultation Kami PERCUMA!
Slot Terhad Untuk 50 Pelanggan & Dapatkan Hadiah Menarik Dari Kami!