“Ish, tak retilah aku nak tidurkan baby ni. Asyik merengek saja dari tadi. Biar Mama dia yang tidurkanlah. Aku bukannya tahu cara menjaga bayi baru lahir ni.”
Sesetengah suami berasa kekok bila tak tahu cara menjaga bayi baru lahir, apatah lagi menidurkan mereka. Tapi, Papa jangan terlalu cepat mengalah! Kalau anda tahu betapa banyaknya manfaat yang anda dapat daripada proses menidurkan bayi, tentu anda akan tak mahu melepaskan peluang untuk melakukannya.
5 Kesan Luarbiasa Ini Akan Berlaku Bila Papa Belajar Cara Menjaga Bayi Baru Lahir
Berikut adalah 5 kelebihan dan kesan luarbiasa yang boleh berlaku kepada bayi, hubungan rumah tangga anda, serta peranan anda sebagai bapa.
1. Kesan Mendalam Kepada Papa
Sifat lelaki yang maskulin mungkin menjadi ibarat ‘dinding’ antara hubungannya dengan anak, terutamanya yang masih bayi. Berbanding wanita yang sudah mengandungkan bayi sejak 9 bulan sebelum dilahirkan, sudah tentu hubungan antara bayi dan ibu lebih mudah untuk terbentuk.
Oleh itu, apabila Papa mula memainkan peranan untuk menidurkan bayi, perkara pertama yang akan berlaku sebenarnya adalah kepada Papa sendiri. Pada saat inilah anda mula berhadapan dengan bayi tanpa bantuan Mama. Ketika ini, anda akan menatap wajahnya dengan lebih tumpuan, menyanyikan lagu untuk menenangkannya, mengusap badannya, malah anda akan mungkin melakukan perkara yang tidak pernah anda lakukan demi memujuknya tidur.
2. Melatih Rutin Tidur Yang Baik Antara Cara Menjaga Bayi Baru Lahir
Diana Julian, seorang Certified Child Sleep Consultant menjelaskan bahawa menurut pengalaman beliau, ibu-ibu yang mendapat sokongan penuh daripada pasangan mereka dalam menguruskan rumah tangga dan pengasuhan anak adalah paling berjaya melatih rutin tidur yang baik.
Salah satu cara yang paling disarankan oleh beliau untuk melibatkan Papa dalam kerjasama ini ialah dengan teknik ‘Finishing Touch’. Caranya, apabila Mama selesai menyusukan bayi, Papa akan mengambil alih – membantu bayi sendawa, menenangkannya, dan menidurkannya. Dengan cara ini, Mama dapat mengambil masa untuk berehat atau menguruskan diri sendiri.
3. Mama Dapat Berehat & Bertenang
Selepas bersalin, terutamanya dalam tempoh berpantang, sesetengah wanita akan mengalami pergolakan emosi yang hebat. Jangan ingat mereka yang dalam tempoh cuti bersalin ini sedang ‘bercuti’. Sebaliknya, fahamilah bahawa mereka ini sedang mengalami proses pemulihan akibat melahirkan. Selain kesakitan yang dialami, mereka terpaksa berjaga malam, menyusukan bayi setiap 2 jam, dan menguruskan setiap keperluan bayi.
Maka, tak hairanlah ibu-ibu ini boleh mengalami tekanan mental dan meroyan sekiranya tidak mendapat sokongan suami. Dengan membantu menidurkan bayi, setidak-tidaknya anda dapat memberi sedikit masa untuk isteri berehat.
4. ‘Alone Time’ Dengan Papa Merupakan Cara Menjaga Bayi Baru Lahir Yang Effektif
Setiap anak memerlukan ‘alone time’ dengan Papa kerana di sinilah anda akan saling mengenali antara satu sama lain. Oleh kerana Papa sentiasa berada di luar dan bekerja, inilah peluang untuk anda berbuat demikian dan ini merupakan cara menjaga bayi yang baru lahir yang effektif!
Sekalipun cara Papa menidurkan bayi tidak sama dengan Mama, tidak mengapa. Dan sebenarnya, memang inilah yang diperlukan oleh bayi – mereka perlu merasakan keunikan ‘male bonding’ daripada seorang ayah. Mereka perlu mendengar degupan jantung Papa, mereka perlukan skin-to-skin contact dengan Papa, mereka mahu berada dalam dakapan Papa supaya mereka dapat lebih rapat dengan Papa dan tidak mencari kekosongan ini apabila besar kelak.
5. Mengukuhkan Hubungan Rumah Tangga
Dengan melihat si suami menidurkan bayi, isteri mana yang tidak jatuh hati. Perasaan sayang semakin menebal dan isteri akan lebih menghargai setiap usaha suami.
PantangPlus juga percaya, dengan mempraktikkan hal ini, Papa bukan saja akan mengetahui cara menjaga bayi baru lahir, malah anda berdua akan menjadi lebih rapat dan dapat belajar antara satu sama lain sekalipun menghadapi beberapa kesukaran dalam mengasuh bayi.
Papa Bukan Sekadar ‘Membantu’ Mama
Pengasuhan anak adalah proses yang panjang dan mencabar. Oleh itu, sokongan Papa sangat bermakna kepada Mama. Ingatlah bahawa ianya bukan sebuah pertandingan untuk melihat siapa lebih handal.
Apabila Papa menidurkan bayi, mereka bukan sekadar ‘membantu’ Mama, tetapi mereka sedang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Dan ini semua akan memberi kesan kepada emosi anak!