Vitamin Untuk Ibu Hamil? Info Menarik Untuk Semua Ibu!

Mendapatkan bayi yang sihat adalah idaman setiap ibu yang hamil. Apabila seseorang ibu itu disahkan hamil, sudah pastinya mereka akan mencari tahu pelbagai informasi dalam membuat persediaan yang terbaik sepanjang proses kehamilan mereka. Maka Vitamin untuk ibu hamil yang cukup sangat penting untuk memastikan ibu dan bayi sentiasa sihat.

Ibu yang hamil memerlukan nutrisi yang secukupnya bagi memastikan kandungannya berada dalam keadaan yang sihat. Diet yang seimbang adalah cara yang terbaik bagi mendapatkan nutrisi yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan.  Namun begitu, terdapat sesetengah ibu hamil yang alah kepada beberapa jenis makanan. Oleh yang demikian, pengambilan vitamin dan suplemen kesihatan amatlah digalakkan bagi melengkapkan kitaran nutrisi yang diperlukan oleh ibu dan bayi dalam kandungan. 

Antara nutrisi utama dan vitamin untuk ibu hamil yang penting adalah: 

Asid Folik Antara Vitamin Untuk Ibu Hamil

Asid Folik merupakan Vitamin B9 yang penting bagi proses penghasilan DNA, sel darah merah dan juga menggalakkan tumbesaran bayi. Ianya bukan sahaja penting pada trimester pertama (12 minggu pertama) kehamilan malahan ianya juga disarankan untuk diambil sebelum kehamilan bagi membantu proses kehamilan dan mencegah kecacatan pada tulang belakang bayi. Tanpa suplementasi ini, ibu hamil terdedah kepada risiko untuk bayi yang mengalami kecacatan. 

Vitamin D 

Pengambilan Vitamin D dapat membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat dan sihat. Hal ini kerana, Vitamin D memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus dalam badan. Selain daripada menguatkan tulang, ianya juga berperanan untuk menguatkan sistem pertahanan badan dan membantu dalam proses pembahagian sel. Kekurangan vitamin ini akan terdedah kepada risiko kelahiran pramatang, preeklampsia, diabetes gestasi dan risiko kelahiran pembedahan caesarean (czer). 

Omega 3 (DHA & EPA)

Asid Lemak Perlu seperti Omega 3 (DHA) dan EPA penting dalam membantu pembentukan dan perkembangan otak serta mengurangkan risiko alahan pada bayi. Selain itu, ianya juga dapat mengurangkan risiko pre-eklamsia ibu. Namun begitu, ibu hamil perlu berhati-hati dalam dos pengambilannya agar tidak berlebihan. Pengambilan omega 3 DHA & EPA yang cukup akan membantu menurunkan risiko depresi selepas bersalin. 

Salah Satu Vitamin Untuk Ibu Hamil Ialah Zat Besi 

Zat besi terbahagi kepada dua bahagian iaitu heme (yang dapat diserap dengan baik oleh tubuh dan terdapat dalam produk dari haiwan seperti daging, ikan dan lain-lain) dan non-heme (ditemui dalam sumber tumbuhan seperti kekacang, sayuran hijau ataupun sumber bijirin). Pengambilan zat besi dapat membantu mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang dan menyokong kepada pembentukan darah yang normal dan meningkatkan sistem imun badan. Kekurangan oksigen pada bayi boleh memberikan kesan yang negatif kepada IQ bayi.

 

Semoga perkongsian di atas dapat membantu para ibu yang hamil untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat serta memakan makanan yang seimbang sepanjang proses kehamilan mereka. Rujuklah kepada pakar sekiranya terdapat persoalan yang mencurigakan.