Dalam proses mendidik dan membesarkan anak-anak, pelbagai perkara perlu disediakan oleh ibu bapa bagi memenuhi keperluan mereka sejak dari mereka bayi lagi. Isu buaian baby turut menjadi dilema para ibu bapa sama ada ianya perlu dibeli atau tidak untuk anak-anak.
Mungkin ada di antara kita yang menggunakan buaian atau merancang untuk menggunakan buaian bagi menidurkan bayi atau anak kecil. Tetapi, adakah buaian baby itu benar-benar suatu keperluan atau sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat?
Ikuti perkongsian daripada jururawat ini iaitu Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadi beliau berkenaan buaian ini.
KENAPA MEMILIH BUAIAN BABY?
Berikut antara alasan atau jawapan yang biasa diberikan berkaitan penggunaan buaian :
- Anak tidur lebih lama dan kelihatan selesa dengan ayunan buaian.
- Buaian dipilih kerana mudah untuk menidurkan anak berbanding tidur di katil bayi yang memerlukan usaha lebih daripada ibu bapa seperti menepuk-nepuk anak sehingga tidur.
- Buaian baby amat memudahkan ibu bapa dalam melakukan kerja rumah kerana bayi mudah terlena semula jika terjaga daripada tidur jika dibuai.
BUAIAN BABY VS KATIL BABY (BABY COT)
Sememangnya buaian baby bukan sahaja kelihatan memudahkan kerja ibu malah seluruh isi rumah kerana bayi kelihatan mudah tidur apabila diletakkan di dalam buaian.
Buaian bayi boleh dibuat sendiri dengan menyangkut spring buaian pada tali / dawai yang telah dipasang / ditebuk di siling rumah dan kemudian kain batik disangkut pada pemegangnya.
Buaian yang sudah sedia berpalang pula boleh dibeli bagi memudahkan untuk bergerak ke mana-mana.
Teknologi terkini, buaian baby dicipta dengan menggunakan tenaga elektrik hingga tidak perlu lagi menggunakan tenaga sendiri bagi membuai bayi.
Tahukah anda, sebenarnya tidak ada tempat yang selamat selain menidurkan bayi di katil bayi (baby cot)?
Ini kerana, jelas kelihatan bayi terperosok dan melengkung ke bawah apabila mereka tidur di dalam buaian – ianya tidak mengikut anatomi tubuh yang sepatutnya seperti semasa mereka tidur di dalam ‘baby cot’.
Buaian bukan sahaja tidak menyokong struktur tulang bayi sepenuhnya, malah turut berbahaya kerana kemalangan dan kecederaan bayi boleh berlaku disebabkan oleh penggunaan buaian.
4 RISIKO PENGGUNAAN BUAIAN BABY
Sebagai ibu bapa, ambil tahu bahawa terdapat beberapa risiko penggunaan buaian yang boleh terjadi ke atas bayi. Antaranya :
- Penggunaan buaian untuk menidurkan bayi boleh mengakibatkan pendarahan otak atau ‘subdural haemorrhage’ (saluran darah yang bersambung pada permukaan otak ke tengkorak boleh pecah apabila kita membuai bayi dengan kuat dan apabila darah dalam otak bergerak dengan hala bertentangan dari tengkorak, boleh menyebabkan pendarahan otak ‘subdural’).
- Buaian boleh menjadi risiko kepada kecederaan kepala bayi selain mampu mengakibatkan kerosakan pada otak bayi.
- ‘Sudden Infant Death Syndrome’ (SIDS) atau lebih dikenali sebagai kematian bayi secara mengejut juga boleh berlaku kepada bayi apabila bayi tidur terlalu lena di dalam buaian (pada kebiasaannya berlaku kepada bayi berusia kurang dari setahun dan berlaku semasa bayi sedang tidur).
- Ayunan buaian boleh menyebabkan kecederaan pada bayi sekiranya terhantuk pada dinding atau terjatuh akibat ayunan yang terlalu kuat.
ADAKAH AYUNAN PERLAHAN TURUT BERBAHAYA?
Sepertimana yang kita semua tahu, ubun-ubun bayi masih lembut. Walaupun ayunan buaian yang perlahan itu tidak berbahaya, tetapi lantunan buaian oleh spring itu boleh menghasilkan pergerakan ke atas dan ke bawah seperti kita menggoncang bayi dengan menggunakan tangan kita.
Ianya sama seperti kes ‘Shaken Baby Syndrome’ yang pernah dikongsikan di pautan ini.
KES-KES KEMALANGAN BERPUNCA DARIPADA BUAIAN
Berikut merupakan contoh kes kemalangan bayi disebabkan oleh buaian :-
- Pernah berlaku anak jatuh ke lantai sewaktu dibuai oleh bapa yang sedang leka membaca akhbar.
- Apabila terdapat anak lain yang ingin membantu membuai adiknya, tetapi tidak sengaja mengayun buaian tersebut sehingga menyebabkan adiknya terhantuk pada dinding.
- Apabila ayunan buaian tidak terkawal, rangka besi menjadi tidak stabil lalu jatuh dan anak terhantuk ke lantai dan dihempap pula oleh rangka besi buaian.
- Semasa anak berada di dalam buaian, spring penyangkut pemegang kain buaian terputus atau tali yang digantung pada siling putus secara tiba-tiba (kerana tidak dapat menahan beban berat badan anak yang semakin bertambah) menyebabkan anak terjatuh
- Anak yang sudah boleh memanjat atau melasak di dalam buaian berisiko untuk jatuh apabila mereka cuba untuk turun sendiri daripada buaian lalu terjerut dengan kain buaian itu sendiri.
- Anak juga boleh tercekik atau lemas apabila mereka memusingkan badan sendiri sehingga posisi muka mereka menghala ke bawah dan tidak pandai berpusing semula agar muka menghala ke atas.
- Terdapat juga kes di mana rangka besi buaian jatuh menghempap anak yang berada di luar buaian dan juga spring atau tali putus lalu terkena pada anak.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa kemalangan ini boleh dicegah dengan mengalas bahagian bawah buaian dengan tilam atau bantal, ‘adjust’ ketinggian buaian atau tidak membenarkan anak lain membuai adik mereka.
Ya, benar. Tetapi berapa lama kita boleh ‘monitor’ keadaan itu? Selepas anak tidur dalam buaian, sudah pasti anak akan ditinggalkan kerana kita ingin membuat kerja rumah.
Bagaimana jika terdapat anak lain mengalih tilam atau bantal yang kita letakkan di bawah buaian tersebut, bereksplorasi mengubah ketinggian buaian itu atau membantu kita mengayun buaian untuk adik mereka ketika kita tidak melihat mereka?
Jika kita tidak mahu semua perkara ini berlaku, secara logiknya, kita perlu ‘monitor’ anak yang sedang tidur di dalam buaian itu sepanjang masa.
Bukankah buaian bertujuan untuk memudahkan kita, tetapi mengapa pula kita perlu ‘monitor’ sepanjang masa anak yang sedang tidur di dalam buaian itu?
5 TIPS PISAH BUAI
Apabila anak sudah terbiasa dengan ayunan buaian, maka mereka akan bergantung kepada ayunan itu untuk tidur kerana kita telah ajar mereka dari awal.
Jadi, cara terbaik adalah jangan pernah kenalkan anak dengan buaian. Jika sudah terlajak menggunakan buaian untuk anak, ini merupakan tips pisah buai yang boleh dipraktikkan :-
- Buai anak seperti biasa, apabila anak sudah berada dalam keadaan separa sedar, angkat anak dan alih ke dalam katil bayi / tidur di bawah.
- Buai anak sehingga anak lena, angkat dan alih anak tidur di atas katilnya agar apabila anak celik mata, dia tidak nampak kelibat buaian itu.
- Elakkan meletak mainan yang boleh menarik perhatiannya untuk terus berlama-lama di dalam buaian.
- Sabar jika anak masih merengek mahukan buaian. Ya, tidak dinafikan memang mereka akan menangis, tetapi perlahan-lahan ajar mereka untuk tidak menggunakan buaian.
- Pujuk anak dengan baik. Perkara ini agak sukar pada awalnya, namun apabila kita latih anak setiap hari, maka ianya akan menjadi semakin mudah.
BUAIAN BUKAN KEPERLUAN
Ini realiti tentang buaian bayi – buaian akan menyukarkan ibu bapa dan sebenarnya tidak memudahkan kerja ibu bapa sepertimana yang sering diperkatakan. Ini kerana, apabila anak sudah bergantung sepenuhnya pada buaian, segala komponen buaian perlu dibawa ke mana-mana dan anak akan meragam jika tidak ada buaian.
Terdapat kes anak-anak yang sudah terbiasa berbuai, semasa ditahan di wad, mereka tidak boleh tidur dan terus-menerus meragam. Bukankah ianya mendatangkan tekanan buat ibu bapa?
Semasa bayi dalam kandungan pun mereka tidak perlu dibuai untuk tidur, mengapa pula apabila bayi lahir kita mahu mereka tidur dengan menggunakan buaian?
Malang tidak berbau. Renung-renungkan dan buat keputusan yang terbaik dalam isu buaian ini.
*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Jururawat Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.