8 Perubahan Fizikal Selepas Bersalin

Melihat gambar-gambar bayi comel di laman Facebook atau Instagram, pastinya mengujakan para wanita yang bakal bergelar ibu buat kali pertama. Rasa tidak sabar menantikan kelahiran cahaya mata yang dikandung dan merasai pengalaman baru bersama insan istimewa ini. Selain daripada membuat persediaan awal dengan membeli pelbagai barangan keperluan bayi, anda turut perlu membuat persediaan dari segi fizikal, mental dan emosi untuk menghadapi hari-hari baru bersama bayi anda kelak. Selain itu, anda seharusnya bersedia mengalami beberapa perubahan fizikal selepas bersalin agar anda atau pasangan tidak terkejut apabila menghadapi realiti sebenar diri anda selepas melahirkan anak kelak.

8 PERUBAHAN FIZIKAL SELEPAS BERSALIN

Apakah perubahan-perubahan fizikal yang bakal dialami oleh para ibu selepas bersalin?

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang 8 perubahan fizikal selepas bersalin buat pengetahuan ibu-ibu dan juga pasangan anda di luar sana. Maklumat ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

1. SAKIT BADAN

Selepas bersalin, anda akan mengalami sakit-sakit pada tubuh badan anda. Ini kerana, semasa proses bersalin, bukan sahaja otot pelvis digunakan, malah ia turut melibatkan otot pinggul, abdomen, belakang, paha, tangan dan betis.

Posisi badan, tekanan, tenaga dan kuasa yang digunakan ketika bersalin menyebabkan otot-otot ini meregang berlebihan daripada biasa.

Bukan otot-otot sahaja, sendi-sendi seperti pergelangan kaki, pergelangan tangan, lutut dan siku juga terlibat sama yang menjadi punca anda berasa sakit-sakit badan.

Ianya akan mengambil masa beberapa minggu untuk sembuh.

2. DARAH NIFAS

Semasa mula-mula bersalin, darah nifas atau ‘lochia’ ini pada kebiasaannya lebih banyak daripada darah haid biasa dan terdapat darah yang berketul-ketul.

Perlahan-lahan ia akan berkurangan dan warnanya akan berubah kepada warna perang dan kemudiannya kuning.

Pastikan anda kerap menukar pad. Jika pendarahan terlalu banyak atau ia mengeluarkan bau yang sangat busuk, dapatkan rawatan segera daripada doktor.

3. LUKA EPISIOTOMI

Bagi wanita yang bersalin normal, jika perlu, doktor akan melakukan episiotomi semasa proses melahirkan bayi. Episiotomi ini dilakukan oleh doktor dengan memotong di kawasan antara bukaan faraj dan dubur untuk mengelakkan koyakan faraj terus ke dubur.

Ambil maklum bahawa luka ini sememangnya sakit dan pedih. Tidak kira sama ada anda berjalan atau duduk, anda akan mengalami rasa sakit dan pedih itu. Untuk mengurangkan kesakitan, anda boleh makan ubat paracetamol. Jika tiada masalah, luka ini akan sembuh dalam masa 4 minggu.

Yang penting, pastikan luka tersebut kering. Gunakan ubat yang diberi oleh jururawat dan lakukan ‘sitz bath’  sepertimana yang diajar oleh jururawat. Jika jururawat datang melawat di rumah, anda wajib benarkan jururawat memeriksa luka tersebut kerana luka jahitan itu berisiko untuk dijangkiti kuman.

Tanda-tanda ibu berpantang dijangkiti kuman adalah jika luka episiotomi bengkak, sangat sakit daripada biasa, merah dan berbau, disertai dengan demam. Usah sapukan sebarang serbuk atau bahan asing di kawasan luka episiotomi tersebut. Dapatkan rawatan segera daripada doktor.

4. LUKA PEMBEDAHAN

Untuk para ibu yang bersalin secara Caesarean, sakit di bahagian pembedahan itu sememangnya tidak terkata. Doktor akan membekalkan ubat tahan sakit dan anda perlu makan ubat tersebut.

Selepas keluar daripada hospital, jika luka tersebut menjadi merah, bengkak, bernanah, sangat sakit atau anda demam, maklumkan kepada jururawat yang datang melawat di rumah atau segera ke hospital.

Jika mahu batuk atau bersin, letakkan bantal pada abdomen dan peluk bantal tersebut untuk mengurangkan rasa sakit.

5. RENGAT

Rasa sengal atau seperti nyilu di dalam bahagian bawah abdomen selepas bersalin dipanggil rengat atau turut disebut ‘after pains’.

Ianya berlaku dalam masa beberapa hari selepas bersalin kerana rahim kita sedang dalam proses pengecutan. Rasa rengat ini akan lebih ketara dialami semasa bayi menyusu.

Rahim akan mengecut sepenuhnya seperti sebelum mengandung dalam tempoh 6 minggu.

6. SEMBELIT DAN BUASIR MERUPAKAN PERUBAHAN FIZIKAL SELEPAS BERSALIN

Terdapat ibu yang mengalami sembelit dan buasir selepas melahirkan bayi. Walaupun anda sedang berpantang, usah amalkan petua-petua yang tidak masuk akal kerana diri anda yang akan merana kelak sekiranya anda mengalami masalah sembelit atau buasir.

Semasa berpantang, anda wajib minum air 2 hingga 3 liter sehari, serta makan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi mengelakkan masalah sembelit dan buasir ini.

Usah menambah derita diri sendiri apabila sakit pada luka di tempat episiotomi atau pembedahan masih belum sembuh, ditambah pula dengan sembelit dan kemudiannya menjadi buasir. Perkara ini bukan sahaja mengganggu diri anda dari segi fizikal, malah akan turut mengganggu mental dan emosi anda kelak.

7. BENGKAK SUSU MERUPAKAN PERUBAHAN FIZIKAL SELEPAS BERSALIN

Apabila susu sudah mula dihasilkan oleh badan anda, payudara akan membengkak dan puting akan berasa lebih sensitif. Usah risau, terus menyusukan bayi anda seperti biasa.

Walau bagaimanapun, sekiranya payudara menjadi bengkak dan merah, disertai dengan demam, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

8. MASALAH TERKUCIL

Sesetengah wanita mengalami masalah terkucil selepas bersalin di mana mereka tidak dapat mengawal proses membuang air.

Batuk atau ketawa juga boleh menyebabkan terkucil disebabkan otot pelvis yang terlebih meregang semasa proses melahirkan bayi.

Belajar membuat Senaman Kegel untuk mengurangkan risiko ‘urinary and faecal incontinence’  ini.

Kebanyakan pesakit akan boleh mengawal semula diri mereka daripada terkucil dalam tempoh masa beberapa bulan.

SUAMI TURUT MAIN PERANAN

Walaupun kesemua perubahan fizikal dan kesakitan ini hanya dialami oleh isteri, suami tidak seharusnya lepas tangan dan tidak peduli dengan luahan hati isteri selepas bersalin kelak.

Buat para suami, lahirkan rasa empati anda kepada isteri. Mereka sanggup bertarung nyawa demi melahirkan zuriat anda berdua. Sentiasa bertimbang rasa terhadap isteri kerana selepas bersalin, bukan semua perkara akan kembali normal seperti biasa.

Ambil berat. Ambil tahu. Ambil peduli. Semoga dengan kehadiran insan baru dalam keluarga anda, kehidupan anda akan menjadi lebih bermakna bersama insan tersayang.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.