Jagaan ibu selepas melahirkan bayi merupakan servis yang diberikan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Keutamaan lawatan nurse datang rumah selepas bersalin dilaksanakan buat para ibu yang baru melahirkan bayi kerana pemerhatian sepenuhnya perlu dilakukan. Walaupun para ibu melahirkan bayi di hospital swasta, servis ini tetap akan dilaksanakan dengan syarat ibu-ibu melaporkan kelahiran bayi di klinik kesihatan terdekat.
Keadaan ibu yang masih ‘kepenatan’ selepas melalui proses kelahiran serta keadaan yang tidak mengizinkan mungkin menyukarkan ibu-ibu untuk hadir ke klinik. Dengan lawatan jururawat ke rumah anda, ianya memudahkan anda kerana anda tidak perlu berulang-alik ke klinik kesihatan atau hospital bagi memeriksa keadaan diri anda dan bayi selepas bersalin kelak.
KENAPA NURSE DATANG RUMAH SELEPAS BERSALIN?
Salah satu daripada tugasan jururawat adalah datang melawat para ibu di rumah selepas melahirkan bayi. Itu sememangnya tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan mereka telah memilih serta berkorban untuk melepaskan tanggungjawab mereka di rumah demi berbakti kepada anda.
Usah pernah berasa rimas dan menganggap bahawa mereka sekadar membuang masa begitu sahaja dengan datang rumah ke rumah anda tidak mengira keadaan cuaca, tidak kira ianya adalah waktu bekerja atau hujung minggu. Lawatan jururawat ini penting untuk mengetahui tahap kesihatan diri anda dan bayi.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah kepentingan lawatan jururawat ke rumah anda selepas bersalin?
Ikuti perkongsian jururawat ini iaitu Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadi beliau berkenaan tempoh lawatan jururawat, sebab jururawat datang melawat ibu berpantang dan pemeriksaan yang dilakukan semasa sesi lawatan.
TEMPOH LAWATAN JURURAWAT
Bagi ibu yang baru sahaja melahirkan bayi, lawatan ke rumah akan dilakukan mengikut sela masa tertentu iaitu dari hari 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, 10, 15 dan 20 anda melahirkan bayi.
Bagi kes bayi yang mengalami ‘jaundice’ (kuning) pula, lawatan akan dilakukan pada hari pertama kelahiran sehingga hari ke-10.
6 SEBAB JURURAWAT DATANG MELAWAT
Berikut merupakan 6 sebab mengapa jururawat melakukan lawatan ke rumah anda selepas anda melahirkan bayi.
1. PEMERIKSAAN UMUM KEPADA IBU
Secara umumnya, jururawat akan melakukan pemeriksaan umum terhadap ibu seperti berikut :-
- Memeriksa tekanan darah.
- Memeriksa suhu badan.
- Mengambil kadar denyutan nadi.
- Lokia (iaitu darah nifas yang keluar dari segi warna, bau serta kuantiti yang keluar bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian seperti tumpah darah atau jangkitan kuman pada kemaluan).
- Pemeriksaan tinggi rahim (untuk nenilai tentang penurunan rahim adalah bersesuaian dengan jumlah hari melahirkan).
- Pemeriksaan perineum (Bagi melihat kepada jahitan serta luka yang terhasil selepas melahirkan, dikhuatiri luka tersebut masih belum sembuh dan boleh mengakibatkan jangkitan).
Daripada pemerhatian di atas, jururawat boleh menilai sebarang tanda yang memerlukan para ibu ke hospital dengan kadar segera.
2. MASALAH TIDAK DAPAT BUANG AIR
Terdapat ibu yang tidak membuang air kecil atau besar selepas melahirkan bayi ekoran trauma dengan proses kelahiran. Maka, di sini jururawat bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan kesihatan yang sewajarnya.
Anda mungkin berasa segan untuk memberitahu masalah sebegini serta meluahkan perasaan yang mengganggu emosi semasa berada di hospital atau ketika lawatan ke klinik. Dengan kehadiran jururawat ke rumah, sekurang-kurang masalah dan bebanan emosi itu boleh diluahkan, sekaligus dapat mengurangkan risiko ‘postpartum blues’ di kalangan ibu berpantang.
3. MENGESAN TROMBOSIS VENA
Jururawat yang melawat anda di rumah juga dapat menilai keadaan diri anda sekiranya berlaku ‘Deep Vein Thrombosis’ atau trombosis vena – keadaan di mana terbentuknya gumpalan darah yang besar di dalam pembuluh darah pada bahagian paha dan betis.
Dikhuatiri darah beku ini akan bergerak melalui saluran darah terus ke paru-paru yang mana ianya sangat merbahaya kerana boleh mengakibatkan sesak nafas dan juga kematian.
4. MENGESAN MASALAH PENYUSUAN
Ibu-Ibu juga akan diperiksa sekiranya mempunyai masalah untuk menyusukan bayi atau mengalami masalah bengkak payudara. Pemeriksaan payudara juga dilakukan bagi mengesan sebarang jangkitan yang berlaku.
Selain itu, jururawat akan turut mengajar teknik penyusuan dan lekapan yang betul bagi menyusukan bayi. Ianya bertujuan untuk memberi keselesaan kepada ibu dan bayi semasa proses menyusukan bayi serta mengurangkan kes rungutan ibu-ibu yang mengatakan mereka tidak ada susu atau susu tidak mencukupi untuk bayi.
5. MAKLUMAT BERKENAAN KAEDAH PERANCANG KELUARGA
Selain daripada pemeriksaan kesihatan para ibu, jururawat turut memberitahu berkenaan kaedah perancangan keluarga. Ianya sangat penting untuk dimaklumkan terutamanya bagi kes ibu yang melahirkan bayi secara pembedahan dan ibu yang melahirkan ramai anak dengan jarak yang terlalu dekat.
Di sini, ibu-ibu boleh bertanya tentang beberapa perkara kepada jururawat yang datang melawat secara langsung supaya sebarang keraguan terjawab secara verbal.
6. PEMERIKSAAN BAYI OLEH JURURAWAT
Jururawat akan melakukan pemeriksaan berikut terhadap bayi :-
- Menimbang berat bayi.
- Mengukur tinggi bayi.
- Mengukur lilitan kepala bayi.
- Menilai cara bayi menyusu badan sama ada betul atau tidak bagi membantu bayi berasa kenyang selepas menyusu.
Selain itu, nurse datang rumah selepas bersalin akan turut menilai keadaan bayi sekiranya bayi mengalami ‘jaundice’. Pemerhatian dilakukan dengan melihat pada warna kulit serta mata bayi bagi mengesan tanda-tanda ‘jaundice’ serta menilai sama ada tanda-tanda ini telah merebak atau semakin berkurangan.
Jururawat adalah individu yang cukup terlatih dalam menilai keadaan bilakah waktu bayi seharusnya dibawa ke hospital bagi pemeriksaan darah berkaitan ‘jaundice’.
HARGAI KOMITMEN JURURAWAT
Sebagaimana yang anda sedia maklum, jururawat yang hadir melawat anda di rumah, ada yang sudah bekeluarga. Mereka sedaya upaya memberikan komitmen mereka buat anda dan meninggalkan keluarga mereka demi berkhidmat sebagai jururawat. Maka, usah pentingkan diri sendiri. Tidak salah jika anda meluangkan sedikit masa buat mereka demi menunaikan tanggungjawab mereka.
Jururawat tidak seharusnya dihalau kerana jika terjadi sebarang perkara yang tidak diingini kepada anda, mereka perlu bertanggungjawab untuk menulis surat tunjuk sebab atas perkara yang berlaku itu.
Jangan gusar, jururawat yang datang melawat anda di rumah tidak minta setitis air pun untuk dihidangkan demi menghilangkan dahaga mereka di panas terik, atau tuala bagi mengelap baju dan tudung yang basah sewaktu hujan. Cukup sekadar dihargai serta kehadiran mereka diterima. Selagi mereka melihat ibu-ibu sihat dan melalui proses berpantang dengan jayanya tanpa sebarang masalah, itu sudah membuahkan rasa syukur di hati mereka.
Semoga kita semua dapat menghargai komitmen jururawat yang datang melawat kita di rumah selepas melahirkan bayi kelak, seterusnya dapat menjalani tempoh berpantang dengan baik melalui pemeriksaan kesihatan yang dijalankan.
*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Bel Nawhen melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.