Mandi Wajib Selepas Bersalin (Cara Mandi Nifas / Wiladah Yang Betul)

Baru melahirkan anak? Kini, anda perlu tahu macam mana cara mandi wajib selepas bersalin pula. Ramai orang keliru, apa beza mandi wajib dengan mandi nifas? Apa pula mandi wiladah?

Izinkan kami berkongsi.

Mandi wajib selepas bersalin

Mandi Wajib Nifas VS Mandi Wajib Wiladah; perkara yang tidak asing lagi diperkatakan oleh semua wanita yang beragama Islam lebih-lebih lagi yang baru mendirikian rumah tangga.

Ini kerana, perkara ini sangat penting untuk kita ambil tahu agar ibadah kita tidak tersia-siakan dek kerana cara mandi wajib yang tidak betul akibat daripada kealpaan kita daripada mengambil tahu. Tahukah anda mandi wajib selepas bersalin terbahagi kepada dua iaitu mandi wajib Nifas dan mandi wajib Wiladah.

Apa itu Nifas?

Nifas merupakan darah yang keluar daripada rahim sejurus melahirkan anak atau sebaik sahaja rahim dikosongkan. Terdapat juga beberapa faktor yang menyebabkan seseorang wanita itu tidak mengalami darah nifas antara asbabnya adalah keguguran ataupun melahirkan secara caesar. Darah nifas yang keluar selalunya selama 40 hingga 60 hari, bergantung kepada cara si ibu berpantang.

Apa itu Wiladah?

Manakala Wiladah pula bermaksud ‘bersalin atau melahirkan’ termasuklah wanita yang  keguguran (walaupun cuma segumpal darah atau segumpal daging) atau yang melahirkan secara caesar.Menurut Mazhab Imam Syafi’ie, Imam Malik dan Imam Ahmad wanita ini WAJIB MANDI, sekalipun tiada darah nifas yang keluar. Hal ini kerana, secara QIAS anak yang lahir itu adalah hasil gabungan air mani lelaki dan air mani wanita oleh itu hukum mandi wajib tetap sama walaupun berbeza cara melahirkannya.

Persoalan yang selalu timbul

“Kalau tiada darah nifas, perlu ke aku cepat-cepat mandi wajib wiladah? Dan kalau aku ada darah nifas, adakah aku perlu mandi wajib dua kali (nifas dan wiladah)? Dan jika aku kedatangan nifas dan haid serentak, macam mana?. Ataupun selesai nifas, terus datang haid, perlu ke aku mandi wajib dua kali (nifas dan haid)?”

Berikut adalah antara persoalan yang selalu bermain difikiran newly mom, ramai yang beranggapan bahawa mandi wiladah harus dilakukan dengan segera dan kemudiannya setelah habis nifas wajib mandi sekali lagi dan sesiapa yang didatangi haid harus mandi dua kali juga. Pandangan ini adalah TIDAK BENAR sama sekali, menurut Imam Syafi’ie ianya turut tidak dianjurkan oleh hukum dan menyusahkan.

Jawapan kepada persoalan mandi wajib selepas bersalin

Oleh itu, para ibu sila ambil perhatian, mandi wajib wiladah yang dilakukan dalam kadar segera adalah untuk mereka yang TIDAK keluar darah nifas, yang biasanya keguguran atau caesarian. Agar ianya membolehkan anda beribadah seperti biasa walaupun masih dalam tempoh berpantang. TETAPI, bagi mereka yang mempunyai darah nifas anda perlu lah menunggu sehingga darah nifas anda kering dan mandi wajib dilakukan cuma SEKALI sahaja untuk kedua-duanya. Begitu juga di antara darah nifas dengan darah haid, anda perlu mandi SEKALI sahaja apabila telah kering kedua-duanya.

Apa kata mufti?

Menurut ulama Fekah dan seperti yang telah dibincangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan hukumnya adalah sah jika kita mengangkat kesemua hadas besar itu sekaligus dengan satu mandian sahaja. Tidak perlu lah mandi dua kali.

Panduan mandi wajib selepas bersalin yang betul

Anda tidak perlu bimbang, sebenarnya ianya mudah sahaja lebih kurang sama dengan cara mandi wajib selepas haid yang biasa kita lakukan cuma berbeza dari sudut niat nya sahaja. Jom kita semak niat mandi wajib berikut:

 

Niat Untuk Mandi Wajib Wiladah Sahaja

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas wiladah kerana Allah Ta’ala”.

 

Niat Untuk Mandi Wajib (Wiladah + Nifas) atau (Nifas + Haid)

 

“Sahaja aku niat mandi wajib menghilangkan hadas akbar (besar) kerana Allah Ta’ala”.

 

Cara-caranya:

  1. Niat seperti yang dinyatakan di atas;
  2. Membaca Bismillah;
  3. Membasuh telapak tangan dan celahan jari;
  4. Membasuh kemaluan menggunakan tangan kiri, sabun dan air yang bersih. Setelah itu, cuci tangan tersebut sehingga bersih;
  5. Mengambil wudhu’ seperti biasa;
  6. Menyiram kepala 3 kali, dimulakan pada sebelah kanan dalam keadaan rambut yang terurai;
  7. Meratakan air ke seluruh badan dan pastikan air kena pada setiap bahagian tubuh anda, jangan lupa check bahagian lipatan ketiak, perut, lengan dan bahagian lainnya;
  8. Basuh kaki sehingga bersih, dan jangan lupa untuk bersihkan celahan kuku dan jari anda.

 

Demikianlah cara mandi wajib nifas dan wiladah yang betul dan anda boleh lah memulakan ibadah seperti biasa.

Antara Pam Susu Terbaik!

Real Bubee Double Electric Breast Pump Milk Bottle (200+ 5 Star Rating)
Lazada tengah ada promosi tau! Click disini sekarang!

 

Akhir kata

Oleh itu, kesimpulan daripada entri ini adalah, terdapat dua jenis mandi wajib selepas bersalin dan berpantang yakni mandi wiladah dan mandi nifas.

Mandi wiladah wajib disegerakan selepas bersalin seandainya si ibu tiada darah nifas, TETAPI untuk si ibu yang berdarah nifas maka haruslah tunggu sehingga darah nifasnya kering terlebih dahulu dan mandi wajib boleh dilakukan cuma SEKALI untuk mengangkat kedua-dua hadas tersebut.

Semoga entri dari PantangPlus ini dapat memberi pencerahan kepada yang masih dalam kebingungan terhadap permasalahan ini. Kalau bersalin last minute dan masih belum dapatkan pakej berpantang, boleh hubungi kami.