Khasiat Memakai Tapel, Param Dan Pilis Semasa Berpantang

Tapel, param dan pilis adalah antara perawatan wajib yang akan dilakukan oleh wanita berpantang sejak turun-temurun. Walaupun cara penggunaan dan peknya telah dimodenkan, sehingga kini amalan penggunaannya masih tetap diamalkan.

Ini kerana, ketiga-tiga amalan ini dapat memberi manfaat kesihatan yang amat baik bagi ibu yang baru melahirkan. Pantangplus.com akan menerangkan kelebihan mengamalkan tapel, param dan pilis semasa berpantang.

Khasiat Memakai Tapel, Param Dan Pilis Semasa Berpantang

1. Tapel

Tapel adalah sapuan yang dipakai pada perut sebelum mengenakan bengkung.

Bahan yang selalu digunakan dalam ramuan tapel adalah tepung beras, kapur sirih, air limau nipis, kencur, dan kayu manis.

Tapel selamat digunakan oleh ibu yang bersalin secara normal. Jika ibu menjalani pembedahan Caesarean, pastikan luka pada perut telah diyakini kering dan tidak bermasalah. Sekurang-kurangnya, tunggu 2 minggu dan dapatkan nasihat doktor sebelum memakainya.

Banyak kelebihan menggunakan tapel pada perut, antaranya:

  • Mengurangkan rasa sakit-sakit di perut serta memulihkan keadaan luaran perut akibat selulit / stretch mark
  • Membantu proses pembakaran lemak bawah kulit dan mengempiskan perut
  • Menghangatkan perut dan membuang ‘angin’ serta darah kotor yang berada di dalamnya
  • Menegangkan kulit perut yang menggeleber

2. Param

Param adalah sejenis rawatan sapuan pada seluruh badan, kecuali daerah payudara dan perut. Antara tujuan memakai param adalah untuk mengatasi pembengkakan yang dialami oleh ibu yang baru melahirkan. Ia boleh digunakan selepas mandi, sebanyak dua kali sehari selama 40 hari setelah melahirkan.

Pada asasnya, param terdiri daripada beras yang direndam dan dicampur dengan bahan-bahan seperti kencur, sirih, halia, cendana, bawang putih, kunyit, kulit limau purut, dan beberapa jenis herba lagi.

Antara khasiat param adalah:

  • Membantu melancarkan peredaran darah
  • Mengelakkan ‘angin’ masuk ke dalam badan
  • Memberi kehangatan kepada tubuh
  • Memberikan kesegaran
  • Menjaga kecantikan luaran kulit

3. Pilis

Pilis pula adalah campuran herba yang khusus untuk disapukan pada dahi. Bahan asasnya adalah tepung beras yang dicampurkan dengan ramuan herba seperti kencur, kunyit, kenanga,daun pudina, halba, kapur sirih, air limau nipis dan sebagainya.

Seperti param, pilis juga seeloknya digunakan selepas mandi, dua kali sehari, sehingga hari ke-40 berpantang.

Antara kebaikan memakai pilis untuk ibu berpantang adalah:

  • Meredakan pening kepala
  • Melancarkan peredaran darah
  • Menyegarkan mata dan memberi keselesaan pada ubun
  • Mengurangkan rasa pitam / ‘gelap mata’ / pandangan kabur. Ini biasanya dialami oleh wanita yang mengalami tekanan darah tinggi
  • Mengelak ‘angin’ yang boleh menyebabkan tekanan emosi

Cubalah Param Dan Pilis, Anda Akan Nampak Kesannya!

Sesetengah wanita mungkin menganggap amalan ini sebagai sesuatu yang leceh. Namun, jika ia dilakukan dengan disiplin setiap hari, anda tentu akan dapat merasai kebaikannya. Malah, ia juga membantu mengekalkan kesihatan wanita buat jangka masa panjang.

Jadi, jangan malas ya!

5 thoughts on “Khasiat Memakai Tapel, Param Dan Pilis Semasa Berpantang”

  1. Kalau guna param ad kesan tak kepada susu ibu.. Adakah dia memberi kesan kepada anak yang kuning berisiko? Sebab param memberikan tubuh ibu yang hangat.

    Reply
    • Jika baby masih jaundice, encik cuma perlu elakkan guna herba pada ibu buat sementara waktu. Tetapi penggunaan param tersebut tidak akan memberi kesan pada susu ibu. Jadi boleh stop kan penggunaan, dan guna semula jika baby sudah baik dari kuning.

      Reply

Leave a Comment