Rutin mengurut si kecil sudah menjadi amalan turun-termurun dan merupakan antara keperluan dalam penjagaan bayi. Bayi yang belum boleh bercakap meneroka sekelilingnya dengan sentuhan. Oleh itu, urutan boleh menjadi cara komunikasi awal antara ibu bapa dan bayi untuk membina hubungan.
Terdapat pelbagai kebaikan mengurut bayi yang memberi manfaat pada bayi dan ibu bapa. Rutin ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara ibu dan anak malah memberi banyak kelebihan pada sudut kesihatan fizikal dan mental si bayi.
Ini 7 Kebaikan Mengurut Bayi Yang Patut Anda Amalkan
1. Menenangkan Bayi
Umumnya, bayi yang menangis akan terus diam apabila didukung kerana mereka mahukan sentuhan ibu. Bayangkan sahaja apa urutan seluruh badan dapat lakukan pada emosi bayi. Kajian membuktikan apabila mengurut bayi, kita dapat memberi kesan positif pada sistem saraf utamanya.
Apabila bayi diurut, hormon penenang iaitu serotonin dirembeskan dan hormon stres, iaitu kortisol disekat. Hasilnya degupan jantung anak lebih perlahan dan teratur, akan berasa lebih damai dan kurang merengek.
2. Menetapkan Corak Tidur
Bayi baru lahir terutamanya menghadapi sedikit kesukaran untuk tidur pada waktu yang tetap. Dengan urutan sebelum tidur, ototnya menjadi lebih tenang, degupan lebih teratur dan hasilnya anak lebih mudah untuk mendapatkan tidur yang berkualiti. Ini kerana hormon melatonin lebih banyak dihasilkan bagi membantu anak tidur dengan lebih mudah.
Melalui tidur yang berkualiti, bayi akan bangun dengan lebih bertenaga, aktif dan ceria.
3. Mengurut Bayi Dapat Mengawal Emosi Mereka
Menjaga bayi baru lahir terutamanya bukanlah perkara yang mudah. Tetapi dengan selalu meluangkan masa dengan mengurutnya, ibu akan mendapat satu medium untuk mendapat tahu keperluan khususnya.
Seperti menyusu badan, mengurut adalah teknik yang sangat berkesan dalam membentuk emosi anak secara sihat dan mengeratkan hubungan. Rutin ini dapat mengajar ibu bapa untuk mengenal pasti emosi anak dan menanganinya dengan lebih cekap.
4. Faedah Kesihatan
Mengurut bukan sahaja dapat menenangkan bayi, malah memberi kesan baik pada kesihatannya. Mengurut dapat melancarkan peredaran darah serta penghadaman bayi.
Selain itu, urutan juga dapat memperbaik sistem pernafasan bayi serta sistem imun dalam badannya.
5. Menggalakkan ‘Bonding’
Ibu bapa baru mungkin agak kekok dan tidak tahu dari mana untuk merapatkan hubungan dengan bayi. Jika ibu dapat ‘bonding’ dengan anak melalui proses menyusu badan, bapa dapat ‘bonding’ dengan kaedah mengurut.
Bayi juga dapat mengenal kita dengan lebih rapat melalui suara, pandangan mata beserta sentuhan lembut yang diberikan selalu. Secara tidak langsung, kebaikan mengurut bayi juga dapat mengurangkan tekanan perasaan atau ‘postnatal depression’.
6. Pertambahan Berat Badan Bayi Yang Positif
Menurut sumber, rutin mengurut bayi dapat mengatur penambahan berat badan bayi secara sihat dan semulajadi. Jika bayi diurut dengan minyak, ini dapat merangsang saraf utama iaitu saraf vagus.
Saraf ini berhubung dengan organ-organ penting dalam badan termasuk perut. Oleh itu, urutan dapat merangsang saraf ini dan melancarkan penghadaman dan usus perut. Dengan ini, berat badan bayi dapat diuruskan dengan lebih baik.
7. Membantu Tumbesaran Pramatang Dengan Mengurut Bayi
Agak sukar untuk mengangkat dan mendukung bayi pramatang. Namun begitu, bayi pramatang masih boleh bertindak balas dengan sentuhan dan urutan.
Menurut kajian, bayi pramatang yang kerap diurut menunjukkan perkembangan positif dari sudut mentalnya. Selain itu bayi ini juga lebih cepat pulih dan sihat berbanding bayi pramatang yang tidak diurut.
Guna Teknik Urutan Yang Paling Berkesan
Waktu paling baik untuk mengurut bayi adalah selepas mandi dan sebelum mandi kerana emosi bayi agak stabil ketika waktu tersebut. Pastikan juga persekitaran tenang dan kondusif untuk memulakan urutan di mana bayi berada dalam keadaan paling selesa.
Dalam artikel seterusnya, PantangPlus.com akan berkongsikan teknik urutan yang berkesan agar kebaikan mengurut bayi ini dapat dimaksimakan manfaatnya.