Perkembangan bahasa merupakan perkara yang sangat penting buat kanak-kanak. Bermula dengan hanya membuat bunyi-bunyi tertentu, beralih kepada menyebut perkataaan dan seterusnya membina ayat, ia sebenarnya memerlukan rangsangan daripada ibu bapa serta individu di sekeliling mereka untuk bercakap dengan bayi.
Menurut Prof. Erika Hoff, seorang Ahli Psikologi Perkembangan di Florida Atlantic University, kanak-kanak tidak dapat belajar apa yang mereka tidak dengari. Ibu bapa seharusnya bercakap dengan bayi dan anak kecil sepertimana bercakap dengan orang dewasa (berserta kata hubung, kata adjektif dan sebagainya) agar mereka mendapat input bahasa yang sewajarnya.
Walaupun bayi tidak memberikan maklumbalas, ibu bapa perlu rajin berbual dan bercakap dengan mereka seawal bayi lagi. Apabila bayi mendengar perkataaan yang disebut oleh ibu bapa, ianya akan disimpan di dalam memori mereka dan akan digunakan oleh mereka untuk bertutur apabila tiba masanya kelak.
7 TOPIK MUDAH BERBUAL DENGAN BAYI
Untuk peringkat permulaan, mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya, apakah topik mudah yang sesuai untuk dibualkan dengan bayi?
Berikut merupakan 7 topik mudah yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa untuk berbual dengan bayi setiap hari.
1. ANGGOTA BADAN
Topik paling mudah yang boleh dibualkan di mana-mana sahaja adalah berkenaan anggota badan.
Ibu bapa hanya perlu sebutkan nama anggota badan sambil memegang atau menunjukkan kepada bayi anggota badan berkenaan. Selain itu, kita boleh memberitahu anak tentang kegunaan setiap anggota badan tersebut dalam kehidupan seharian. Bagi yang beragama Islam, selitkan juga tentang pencipta anggota tubuh badan kita ini.
Lebih menarik lagi, jika ibu bapa boleh menyanyikan lagu-lagu ringkas tentang anggota badan. Tentu anak kecil ini berasa seronok dan gembira mendengar nyanyian itu sambil belajar tentang anggota badan.
2. AKTIVITI HARIAN
Apa jua perkara yang sedang kita lakukan terhadap bayi, beritahu kepada bayi. Beritahu kepada bayi sama ada kita sedang memakaikannya pakaian, memandikannya, menyapu losyen pada badan bayi, memakaikan lampin pada bayi, dan sebagainya agar mereka belajar bahawa ibu atau bapa mereka sedang merapikan diri mereka.
Selain itu, kita juga boleh memberitahu kepada bayi perkara yang sedang kita lakukan seperti sedang mengemas beg, menutup almari, menyidai tuala, menyangkut baju dan sebagainya.
Jika begini caranya, pasti tidak henti-henti mulut kita berbicara dengan bayi, bukan? Dengan cara ini, semakin banyak input diterima oleh bayi dalam membantu perkembangan bahasa mereka.
3. PAKAIAN
Sama ada ibu bapa mahu pun bayi, pakaian pasti ditukar setiap hari. Maka, pakaian juga merupakan salah satu topik mudah untuk dibualkan dengan bayi.
Beritahu anak kecil ini tentang pakaian yang sedang mereka pakai pada hari itu – tentang warna pakaian, jenis pakaian tersebut (seluar, baju, dan lain-lain), serta pakaian tersebut dipakai pada waktu malam atau siang.
Ibu bapa juga boleh memberitahu bayi tentang pakaian yang kita pakai pada hari itu. Pasti banyak perkara yang bayi dapat belajar walaupun ia hanya berkisar tentang pakaian sahaja.
4. BENDA DI SEKELILING
Benda di sekeliling merupakan topik yang paling banyak untuk dibualkan dengan bayi. Bila bercakap dengan bayi, cuba perkenalkan kepada mereka dengan pelbagai jenis permainan, makanan, buah-buahan, sayur-sayuran, perabot dan apa jua yang kelihatan di sekeliling kita.
Terangkan juga kepada bayi tentang warna, saiz, bentuk, dan sebagainya bagi memberi input tambahan kepada bayi tentang sesuatu item tersebut.
Jika barang tersebut tidak merbahayakan, benarkan anak kecil ini untuk memegang barang itu. Dengan cara ini, bayi bukan sahaja dapat mengenal pelbagai benda di sekelilingnya, malah turut membantu perkembangan deria sentuhan mereka.
5. CUACA
Untuk berbual tentang cuaca, ibu bapa perlu membawa atau mengajak anak keluar atau sekurang-kurangnya melihat daripada tingkap mahu pun pintu kaca, bagaimanakah cuaca di luar pada hari ini. Adakah pada hari ini cuaca panas, hujan gerimis, hujan lebat, cerah atau mendung? Adakah kelihatan matahari, awan atau pelangi di luar sana?
Bagaimana pula dengan keadaan persekitaran ketika itu? Jika cuaca ketika itu berangin, ibu bapa boleh memberitahu bayi bahawa angin itu walaupun tidak dapat dilihat, ianya dapat dirasakan sejuk pada kulit, dedaun pokok bergoyang ditiup angin dan ada juga daun yang luruh ke tanah.
Jika kita tinggal atau bercuti di negara yang mempunyai empat musim, lebih banyak pengalaman dapat dilalui dan lebih banyak perkara dalam topik cuaca dapat dibualkan dengan anak kecil.
Daripada topik ini, anak kecil ini dapat belajar bahawa cuaca mungkin berubah dan tidak semestinya sama pada setiap hari.
6. DESTINASI
Ibu bapa dan bayi pasti tidak akan duduk di rumah sahaja setiap hari, bukan? Apabila keluar daripada rumah untuk membeli barang atau sekadar mengambil angin luar, ceritakan kepada bayi destinasi yang ingin dituju.
Beritahu bayi ke mana tempat kita akan pergi, tujuan kita ke sana, berapa lama kita dijangka akan berada di sana, dan sebagainya.
Dalam perjalanan menuju ke destinasi, sekiranya bayi tidak tidur, berbual dengan bayi tentang lampu isyarat, kenderaan, deretan pokok atau bangunan di tepi jalan. Apabila telah sampai ke destinasi, maklumkan kepada bayi bahawa kita telah tiba ke lokasi yang dimaksudkan.
Walaupun bayi mungkin belum dapat melihat dengan jelas tentang apa yang diceritakan oleh ibu bapa, tetapi apa jua yang kita bualkan itu akan disimpan ke dalam memori mereka. Oleh itu, usah pernah jemu untuk berbual dengan bayi.
7. KEADAAN PERSEKITARAN
Keadaan persekitaran sama ada di rumah mahu pun di luar rumah pastinya berbeza, bukan? Bagi bayi, semua persekitaran adalah perkara baru buat mereka.
Jika berada di dalam rumah, beritahu bayi bahawa kita berada di bilik, ruang tamu, dapur, bilik mandi, dan sebagainya. Jika terdapat bunyi kipas atau televisyen, beritahu mereka juga tentang bunyi tersebut. Dengan ini, mereka dapat mengaitkan apa yang mereka dengari dengan perkataan-perkataan yang disebut oleh ibu bapa.
Apabila berada di luar rumah, dengarkan jika terdapat bunyi cengkerik, ayam, kicauan burung, desiran ombak menghempas pantai, dan sebagainya. Jelaskan kepada bayi sama ada suasana ketika itu senyap atau pun bising. Selain itu, berikan juga input kepada bayi tentang apa yang kelihatan di persekitaran mereka. Ingat, bercakap dengan bayi, kena tengok keadaan persekitaran juga.
JOM BERBUAL DENGAN BAYI
Walaupun mungkin terdapat segelintir masyarakat yang pelik melihat kita bercakap dengan bayi, usah bimbang, bercakap dengan bayi sebenarnya adalah perkara yang normal. Kita seharusnya berasa lebih bimbang jika tidak mendedahkan sebarang input bahasa buat bayi semenjak mereka kecil.
Selain daripada 7 topik di atas, terdapat banyak lagi perkara yang boleh kita bualkan dengan bayi. Mindanya yang sedang pesat berkembang perlu diberi rangsangan bahasa semaksimum mungkin agar potensinya untuk bertutur dapat digilap oleh ibu bapa.
Jadikan aktiviti berbual dengan bayi sebagai rutin harian dan kebiasaan kita bersama mereka. Semoga dengan usaha ibu bapa yang rajin berbual dengan bayi, anak ini akan cepat bertutur dan membesar menjadi individu yang bijak.
Jom berbual dengan bayi!