Segera Ke Hospital Jika Ibu Berpantang Alami 4 Simptom Bahaya Ini!

Apakah simptom selepas bersalin yang ramai orang tidak sedar? Tidak dinafikan, sebagai seorang ibu, jadual harian anda pasti akan berubah dengan kehadiran insan baru dalam kehidupan anda.

Walau bagaimanapun, dalam kesibukan menguruskan diri dan juga bayi selepas bersalin, anda seharusnya tidak mengambil mudah akan isu kesihatan diri sendiri.

Simptom selepas bersalin

Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah simptom-simptom yang membahayakan kesihatan ibu berpantang?

Apakah perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dan ibu perlu segera ke hospital?

4 SIMPTOM BAHAYA IBU BERPANTANG

Ikuti perkongsian Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, tentang 4 simptom bahaya yang perlu diambil perhatian oleh ibu-ibu berpantang.

Maklumat ini dikongsikan oleh beliau melalui laman Facebook peribadinya.

1. DARAH NIFAS YANG BANYAK

Perhatikan jika darah nifas keluar dengan begitu banyak secara tiba-tiba (contoh : penuh satu pad dengan darah nifas dalam masa 1 jam).

Ditambah pula jika anda berasa pening atau mengalami denyutan nadi yang laju, ianya mungkin petanda anda mengalami ‘postpartum haemorrhage’ atau dengan kata lain, tumpah darah.

Usah berlengah, anda harus segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

2. SAKIT KEPALA YANG TERUK

Jika anda mengalami sakit kepala yang teruk diiringi dengan mata kabur, muntah dan kaki bengkak selepas bersalin, pergi ke hospital dengan kadar segera untuk mendapatkan rawatan.

Pada kebiasaannya, simptom ini terjadi kepada mereka yang mempunyai rekod darah tinggi semasa mengandung.

Dikhuatiri, ibu-ibu berpantang yang mempunyai simptom sebegini akan mengalami ‘eclampsia’  yang pada kebiasaannya terjadi dalam masa 3 hari lepas bersalin.

3. DEMAM MELEBIHI 38°C

Demam melebihi 38°C disertai dengan menggigil merupakan simptom berbahaya buat ibu berpantang. Pada kebiasaannya, demam diiringi dengan salah satu simptom ini :

  • Darah nifas yang berbau sangat busuk.
  • Bengkak payudara – sakit, merah.
  • Luka episiotomi atau Caesarean yang bengkak, merah, sakit lebih daripada biasa dan keluar cecair seakan nanah daripada luka itu.
  • Berasa sangat sakit di bahagian bawah abdomen atau ari-ari.
  • Apabila membuang air kecil, rasa pedih, tidak puas dan urin berbau, serta urin keluar sedikit-sedikit – ini merupakan tanda jangkitan kuman pada pundi kencing.

Terdapat pelbagai punca penyebab demam ini semasa berpantang. Doktor dan jururawat akan berasa sangat risau sekiranya ibu berpantang mengalami demam selepas melahirkan cahaya mata.

Wanita berpantang tidak boleh demam kerana ianya merupakan tanda anda mengalami jangkitan kuman yang mesti dirawat.

Petua agar ibu berpantang yang demam untuk tidur baring di atas lantai, tanpa tilam, duduk berselimut dan sebagainya itu tidak seharusnya diikuti. Anda perlu segera ke hospital.

4. SAKIT DADA DAN SUKAR BERNAFAS

Ibu berpantang yang sakit dada dan sukar untuk bernafas secara tiba-tiba, ditambah pula jika disertai dengan batuk berdarah dan pening kepala, ianya sangat membimbangkan doktor dan jururawat.

Jika ibu berpantang selepas bersalin mengalami simptom-simptom ini, anda berisiko mengalami ‘pulmonary embolism’. Ia terjadi apabila terdapat ketulan darah (blood clot) tersekat pada salur darah arteri di paru-paru. Ianya sangat membahayakan dan boleh mengancam nyawa.

Untuk wanita yang berisiko (contoh : obesiti), doktor akan memberi suntikan ‘Clexane’  bagi memastikan darah tidak beku pada kaki (deep venous thrombosis). Ini kerana, darah yang beku itu boleh menjadi serpihan kecil, naik ke bahagian atas badan dan seterusnya menyumbat arteri di paru-paru.

Jika doktor selesai memberikan suntikan ini, kemudian turut memberinya kepada anda untuk dibawa pulang serta dapatkan suntikan di klinik berdekatan, inilah sebabnya.

JALANI TEMPOH BERPANTANG DENGAN BAIK

Dalam kesibukan menguruskan bayi baru semasa berpantang, jangan abaikan kesihatan diri anda.

Pastikan juga anda mendapat nutrisi daripada makanan berkhasiat ketika berpantang agar kesihatan anda berada pada tahap yang memuaskan dan tempoh berpantang dapat dijalani dengan baik.

Sekali lagi, usah memandang enteng dengan tahap kesihatan anda ketika berpantang selepas bersalin. Segera ke hospital jika anda mengalami mana-mana 4 simptom di atas mahupun simptom lain yang meragukan.

 

*Sumber asal perkongsian ini adalah daripada Dr. Rusyainie Ramli melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.