Sebagai ibu bapa, kita pasti mahukan yang terbaik untuk penjagaan si bayi. Dengan lambakan rangkaian produk mandian bayi masa kini, banyak yang dilabel ‘organic’ dan ‘natural’ tetapi sejauh manakah keberkesanannya pada kulit si manja? Apakah yang perlu ada dalam sebuah produk supaya kesihatan kulit bayi terjamin? Ikuti tips PantangPlus ini untuk ketahui memilih sabun bayi sensitif terhadap keperluan bayi baru lahir, termasuklah bayi yang berkulit sensitif atau cenderung terhadap alergi dan ruam.
5 Tips Memilih Barang Mandian Untuk Bayi Yang Berkulit Sensitif
1. Pilih Sabun Bayi Sensitif Khusus Untuk Kulit Bayi
Sabun yang kasar boleh menyakitkan kulit bayi dan menyebabkan kemerahan. Oleh itu, pilihlah sabun bersifat lembut serta bebas toksik dan bahan kimia bagi melindungi kulit sensitif bayi.
Kulit bayi juga tidak perlu disental dengan kuat seperti kulit dewasa. Organ kulitnya yang masih nipis dan sensitif perlu penjagaan khusus dengan sabun lembut khas untuk bayi.
2. Tidak Perlu Pilih Sabun Bayi Yang Berbuih
Cara penjagaan kulit bayi dan dewasa jauh bezanya disebabkan oleh sifatnya yang berlainan. Kulit bayi hanya perlu sabun lembut bebas bahan kimia berbahaya tanpa buih-buih yang banyak.
Bahan kimia yang ada pada buih sabun dikhuatiri dapat memudaratkan kesihatan kulit bayi lebih-lebih lagi jenis kulit yang sensitif.
3. Elakkan Sabun Dengan Pewangi
Para ibu bapa dinasihatkan untuk memakai sabun bebas pewangi kerana bau sabun yang terlalu wangi mungkin membuatkan bayi kurang senang ketika mandi. Pewangi yang ada pada sabun juga berisiko untuk mengandungi bahan kimia berbahaya untuk kulit sensitif si manja.
Tidak perlu sabun wangi-wangi untuk bayi. Bau semulajadi bayi sahaja sudah sangat menenangkan sehingga teringat-ingat bila kita tiada di sampingnya.
4. Gunakan Sabun Hypoallergenic Untuk Bayi Bermasalah Kulit
Sekiranya bayi mengalami masalah kulit seperti kering, dan eczema, rawatinya dengan memakai rangkaian produk yang mengandungi hypoallergenic ketika mandi.
Pembersih jenis ini terbukti dapat mengurangkan risiko bayi terkena alahan pada kulit akibat sabun bayi tertentu. Hasilnya, simptom penyakit kulit bayi dapat dikurangkan.
5. Baca Label Produk
Ibu bapa perlu tahu komponen dalam sabun sebelum menggunakannya pada anak sebagai langkah berjaga-jaga. Elakkan sabun yang mengandungi bahan kimia berbahaya seperti glycol, propylene dan paraben.
Sabun yang terbaik untuk kulit sensitif ialah yang diperbuat daripada bahan semulajadi seperti badam, susu, madu dan minyak zaitun.
Pemilihan Produk Yang Sesuai Amat Penting
Bayi yang sedang membesar mempunyai sistem imun yang sedang berkembang. Oleh itu, kulit yang bertindak sebagai lapisan pelindung pertama badan perlu dijaga rapi untuk kesihatan bayi. Sebenarnya, mandi dengan air bersih dengan sedikit sabun sahaja sudah memadai. Penggunaan sabun dan pembersih juga tidak boleh terlalu kerap kerana rutin ini akan membuatkan kulit bayi mudah kering.
Namun begitu, sekiranya bayi mula menunjukkan tanda-tanda masalah kulit seperti kulit kering, ruam lampin, dan eczema, perhatian khusus perlu diberikan. Dapatkan rujukan doktor untuk cadangan produk terbaik berdasarkan kondisi kulit bayi.
Teeima kasih tips yang sangat berguna. Kulit bayi baru lahir memang lembut dan sensitif kan, kena hati2 pilih produk 🙂