Bagi ibu-ibu yang sedang melalui tempoh berpantang, menu makanan berpantang adalah kemestian.
Selepas melahirkan bayi, para ibu disaran mengamalkan pemakanan sihat berupa menu berpantang yang berkhasiat untuk mengembalikan tenaga yang hilang.
Biasanya tempoh berpantang adalah lama, sekurang-kurangnya selama 44 hari.
Ramai yang kata menu berpantang membosankan, benarkah begitu?
Membosankan atau tidak, pemakanan si ibu perlu dijaga untuk mengelakkan masalah sampingan seperti bentan dan luka lambat sembuh.
Sebenarnya menu pantang bukan hanya terhad kepada nasi kosong dan ikan bakar sahaja, ia boleh dipelbagaikan dan masih menyelerakan.
Untuk para ibu yang sedang berpantang atau bakal ibu, kami kongsikan 7 menu menarik semasa berpantang yang boleh anda cuba.
Lempeng Nestum
Bahan-bahan:
1 ½ cawan nestum
3 sudu besar susu pekat manis
2 cawan susu segar
2 sudu besar madu
1 cawan tepung gandum (boleh ditambah jika adunan lembik)
Kismis (ditabur atas adunan ketika masak)
Cara-cara:
- Campur semua bahan kecuali kismis di dalam mangkuk, gaul sebati sehingga menjadi pekat.
- Panaskan minyak zaiton atau butter di atas kuali non-stick untuk elak adunan melekat. Guna api kecil.
- Masukkan sesenduk kecil adunan, ratakan dan tabur kismis.
- Balikkan apabila bahagian bawah adunan sedikit keras, kemudian angkat.
Sup Herba Ikan Haruan
Bahan-bahan:
1 ekor ikan haruan
2 sudu besar minyak jagung
2 cawan air
Ditumbuk – 1 sudu besar lada hitam, 3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dan 2 cm halia
1 keping asam keping
Garam secukup rasa
Cara-cara:
- Bersihkan ikan dengan air asam jawa terlebih dahulu untuk hilangkan hanyir ikan. Potong kepada dua bahagian.
- Panaskan minyak jagung, tumis bahan-bahan yang ditumbuk sehingga wangi.
- Masukkan air, kacau hingga mendidih.
- Masukkan asam keping dan ikan, kacau rata dan masak hingga menduduk.
- Boleh campur serbuk rempah sup.
- Taburkan daun bawang dan daun sup sebelum dihidang.
Grilled Salmon Dengan Lada Hitam
Bahan-bahan (ikan)
1 keping ikan salmon
1 sudu kecil minyak zaiton
1 biji bawang merah (potong kasar)
1 biji bawang putih
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kecil serbuk daun rosemary
Garam secukup rasa
Bahan-bahan (sos lada hitam)
1 biji bawang merah
1 kiub stok ayam
1-2 sudu besar lada hitam tumbuk halus
Kicap
2-3 sudu tepung jagung campur dengan air
2 sudu minyak zaiton
Cara-cara:
- Perap ikan bersama bahan-bahan lain selama 4-5 jam. Kemudian perap sehingga masak.
- Untuk memasak sos, tumis bawang merah yang dicincang, masukkan tepung jagung yang dicampur air, masukkan kiub stok ayam dan kacau rata.
- Masukkan kicap dan lada hitam. Masak hingga mendidih.
- Boleh tambah air jika kuah kurang pekat.
- Setelah masak hidangkan bersama ikan salmon.
Kerabu Nasi Ulam Daging
Bahan-bahan:
500g nasi putih
400g daging (diperap rempah, dipanggang dan potong nipis)
40g ikan bilis
30g lada hitam
3 biji bawang merah
6 batang serai
½ biji cili benggala
Bahan ulam:
2 helai daun selom
2 batang bunga kantan
3 helai daun kunyit
6 helai daun kaduk
5 helai daun limau purut
Garam secukup rasa
Cara-cara:
- Sangai ikan bilis dan bawang.
- Tumbuk lada hitam hingga hancur. Gaulkan bersama bawang, serai, halia, lengkuas dan cili benggala.
- Campurkan bersama nasi dan ulam-ulaman yang telah dihiris halus.
Kerutuk Daging
Bahan-bahan:
1 kg daging batang pinang – dihiris
2-3 sudu besar rempah kerutuk
Kisar – 2 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah
Hiris halus – 2 ulas bawang putih dan 4 ulas bawang merah, 2cm halia
Rempah – kayu manis, bunga lawang, buah pelage
Sekotak santan
1 keping asam keping
Gula melaka, gula pasir dan garam secukup rasa
Cara-cara:
- Campur bawang yang dikisar bersama rempah kerutuk, manakala bawang dan halia yang dihiris ditumis bersama rempah.
- Selepas garing masukkan rempah kerutuk, masak hingga keluar minyak.
- Masukkan daging, tambah sedikit air dan dikacau rata. Masak sehingga air kering, keluar minyak dan sehingga daging empuk.
- Masukkan santan, masak sehingga mendidih.
- Perasakan dengan garam, gula, gula melaka dan asam keping.
Tortilla Daging dan Keju
Bahan-bahan:
1 keping tortilla
1 keping keju
Daging yang dibakar dengan rempah dan dihiris halus
Potong dadu – 1 biji tomato, ½ batang lobak, 1 biji bawang Holland dan 1 biji cili benggala
Sedikit lada hitam, garam
Salad dipotong nipis
Cara-cara:
- Gaul kesemua bahan termasuk salad.
- Letakkan di atas tortilla bersama keju.
- Gulung kemas dan boleh dimakan.
Kerabu Daun Mengkudu
Bahan-Bahan:
200g pucuk mengkudu
3 sudu kecil kelapa parut
½ biji bawang besar dihiris halus
Garam dan gula secukup rasa
Cara-cara:
- Celur sebentar pucuk mengkudu, kemudian tos air dan hiris halus.
- Gaul bersama pucuk mengkudu bersama bahan-bahan lain dan perasakan dengan gula dan garam.
Diharap koleksi menu berpantang ini dapat membantu anda mempelbagaikan pemakanan anda semasa tempoh berpantang kelak. Selamat mencuba 🙂