Cara Hilangkan Loya Dan Mual Ketika Hamil & 8 Tips

8 Cara Hilangkan Loya Dan Mual Ketika Hamil

Semua wanita ingin melalui perasaan mengandung. Saat mengetahui mereka hamil, meraka akan mengalami perubahan dari segi hormon, emosi, bentuk tubuh, perut membesar, pergerakan aktif bayi sehinggala saat melahirkan. Walau bagaimanapun tidak semua wanita mengalami proses dan pengalaman hamil yang sama. Wanita perlu tahu kaedah atau cara hilangkan loya dan mual ketika hamil.

Kebanyakan wanita hamil akan mengalami simptom mabuk hamil atau ‘morning sickness’ seperti loya, muntah-muntah, hilang selera makan atau alah kepada bau, persekitaran mahupun individu tertentu. Kesannya berbeza untuk setiap individu. Simptom ini akan berlanjutan selama beberapa minggu malah ada yang berbulan lamanya dan ianya boleh menjejaskan ibu dari segi fizikal, emosi dan sosial.

Dalam kebanyakan kes, ‘morning sickness’ tidak merbahaya dan anda tidak perlu risaukan kesihatan kandungan anda. Malah, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa simptom ini adalah normal dan merupakan tanda kehamilan yang sihat.

Terdapat cara untuk anda menghilangkan rasa loya dan muntah ketika hamil supaya ia tidak berpanjangan sehingga mengganggu aktiviti harian anda. 

Berikut adalah beberapa tips yang boleh anda lakukan untuk melegakan rasa loya, mual, dan muntah ketika hamil dengan menggunakan bahan semulajadi.

Makan Dalam Kuantiti Yang Kecil Dan Sedikit Antara Cara Hilangkan Loya

Jika selama ini anda makan 3 kali hidangan utama sehari, mungkin anda boleh ubah dan pecahkan kepada 6 kali hidangan kecil sehari. Apabila kita makan sedikit demi sedikit, perut akan lebih rasa selesa dan tidak terlalu penuh sehingga boleh menyebabkan loya dan muntah.

Elak Makanan Pedas Dan Berlemak

Selera makan setiap individu hamil berbeza-beza. Ada sesetengah ibu yang gemar makanan pedas, berempah, dan berlemak. Cuba hadkan akan pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan rasa mual dan ketidakselesaan pada perut. Jika anda sering termuntah, cuba makan makanan kering seperti biskut dan roti kosong. Makanan sejuk dan kurang berbau juga biasanya dapat membantu.

Jangan ‘Skip’ Sarapan

Salah satu tabiat yang perlu dielakkan jika anda kerap muntah ketika hamil adalah mengelak daripada mengambil sarapan. Jangan biarkan perut anda kosong, ambillah sedikit sarapan walaupun hanya sekeping roti ataupun biskut kering. Perut yang kosong akan mudah dimasuki angin.

Banyakkan Minum Air Kosong

Pengambilan air kosong yang secukupnya akan dapat menghindari dehidrasi akibat loya, mual dan muntah. Sekiranya dengan minum air kosong tidak membantu, cuba minum jus buah-buahan yang dibuat sendiri tanpa gula. 

Snek Sihat Sebagai Cara Hilangkan Loya

Jika anda kurang berselera dengan makanan berat, pastikan anda mendapatkan khasiat yang baik dengan mangambil snek sihat seperti buah-buahan segar dan salad kerana ia bukan saja berkhasiat, tetapi ia juga mengurangkan rasa mual dan loya. Selain itu, ibu hamil boleh mengambil kekacang seperti kacang almond, pistachio, walnut, atau badam sebagai kudapan. Tapi, elakkan daripada memakan snek yang mempunyai kandungan gula atau garam yang berlebihan ya!

Buah citrus (limau/lemon/limau nipis) 

Bau lemon yang dipotong boleh membantu untuk mengurangkan loya anda. Anda juga boleh menambah hirisan lemon ke dalam air minuman. Kulit limau bagus untuk menghilangkan rasa loya dan alahan kepada bau. Ibu yang mual lebih cenderung mengambil buah-buahan yang masam kerana rasa loya pasti akan berkurangan. Ini lebih baik daripada mengambil gula-gula atau jeruk dan asam yang kaya dengan pengawet.

Banyakkan Tidur Dan Berehat

Pastikan anda tidur sekurang-kurangnya 8 jam setiap malam kerana keletihan akan mengakibatkan rasa loya Ketika hamil menjadi lebih teruk. Elakkan bangkit daripada katil dengan tergesa-gesa dan cepat Ketika bangun tidur. Cuba jadualkan waktu tidur siang sebagai salah satu cara untuk mengembalikan tenaga dan menghilangkan rasa letih setiap hari.

Cara Hilangkan Loya Dengan Menghidu Minyak Aromaterapi 

Semasa hamil, deria bau wanita biasanya akan menjadi lebih sensitif dan ia boleh menjadi salah satu punca rasa mual dan loya. Oleh itu, minyak angin atau minyak aromaterapi dapat membantu anda untuk mengurangkan sensitiviti terhadap bau-bauan yang tidak dapat diterima oleh anda.

 

Sepanjang kehamilan bayi dan anda memerlukan nutrisi cukup untuk memastikan kehamilan dapat berjalan lancar. Apapun, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor sekiranya mengalami muntah teruk yang berpanjangan, muntah darah, tidak berupaya untuk mengambil makanan atau minuman yang mencukupi dan penurunan berat badan yang mendadak.