Asid Folik Untuk Ibu Mengandung Dan Cara Pengambilannya

Asid Folik Untuk Ibu Mengandung Dan Cara Pengambilannya

Asid Folik semestinya sinonim dengan ibu mengandung. Wanita yang sedang merancang untuk hamil juga disarankan untuk mengambilnya sebagai langkah awal dan persediaan bagi kehamilan yang sihat. 

Asid folik penting untuk perkembangan bayi dalam kandungan dan amat disarankan agar ibu atau wanita yang merancang kehamilan untuk mengambilnya.

Folate merupakan sejenis vitamin B yang boleh didapati daripada makanan. Bahan ini amat penting dalam perkembangan tubuh manusia. Sel-sel pada tubuh badan kita berganti pada setiap hari seperti kuku, rambut dan kulit memerlukan vitamin ini untuk meneruskan proses tersebut.

Asid folik merupakan bentuk sintetik bagi folate yang ditambah bagi memperkaya zat di dalam makanan seperti roti, bijirin dan pasta. Folate juga wujud secara semula jadi dalam makanan seperti di dalam kekacang dan sayuran hijau.

Mengapakah Asid Folik Diperlukan?

Ia diperlukan untuk menolong melindungi bayi dalam kandungan anda daripada kecacatan dalam sistem sarafnya (kecacatan tiub neural) seperti spina bifida. Spina bifida berlaku apabila pelindung yang melitupi saraf tunjang bayi tidak tertutup dengan sempurna. Ini boleh menyebabkan kerosakan saraf kekal.

Dimanakah Asid Folik Wujud

Asid ini wujud secara semulajadi dalam makanan seperti Sayuran berdaun hijau gelap, Kacang kering dan kacang polong (kekacang), Bayam, Brokoli, Asparagus, Pisang, Tembikai, Ragi, Cendawan, Daging

Banyak makanan kini diperkaya dengan asid ini. Sebahagian daripadanya adalah Roti yang diperkaya, Bijirin, Tepung, Pasta, dan nasi.

Dos Asid Folik Yang Disarankan

Dos yang biasa disarankan oleh doktor bagi wanita yang sedang merancang atau pada awal kehamilan adalah 400 mcg setiap hari. Namun bagi wanita yang mengalami masalah kesihatan tertentu mungkin memerlukan pengambilan dalam dos yang lebih tinggi. Sebaiknya, rujuk kepada doktor anda bagi mengetahui dos yang perlu diambil.

Bila Ia Perlu Diambil?

Sekurang-kurangnya 3-6 bulan sebelum mengandung. Semasa mengandung kerana dalam usia kehamilan 12 minggu pertama perkembangan otak dan sistem saraf bayi dalam rahim berkembang dengan cepat. Apabila usia kehamilan memasuki trimester kedua iaitu berusia melebihi 13 minggu pengambilan folik asid boleh di hentikan. Tetapi digalakkan pengambilan sehingga kelahiran bayi.

Tentang pengambilannya, ia boleh diambil pada bila-bila masa. Tetapi yang terbaik adalah pada waktu pagi dengan segelas air suam. Ia boleh diambil sebelum atau selepas makan. Jika terlupa ambil sebaik sahaja anda teringat. Anda tidak perlu menambah dos jika terlupa mengambilnya pada hari sebelumnya dan ambil mengikut dos seperti biasa.

Untuk keterangan dan penjelasan lebih tepat anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor.